Puad Zarkashi bakal buat pusingan U, beri bayangan bertanding PRN Johor
JOHOR BAHRU – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberi bayangan akan membuat satu pengumuman penting pada 27 Jun ini susulan perkembangan terkini dalam UMNO Johor yang disifatkannya sebagai membimbangkan.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata, pengumuman itu dibuat selepas Barisan Nasional (BN) Johor mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
Menurutnya, terdapat perkara yang disifatkan sebagai ‘tidak kena’ dalam senarai calon berkenaan sehingga mendorong beliau mengambil pendirian untuk meneruskan perjuangannya.
“Hari ini BN Johor akan umum senarai calon yang akan bertanding di PRN Johor 2026. Melihat senarai calon tersebut ada yang tidak kena kepada UMNO Johor.
“Justeru saya akan membuat pengumuman penting pada 27 Jun 2026. Perkembangan terkini UMNO Johor merisaukan. Saya tidak akan menoleh belakang walaupun saya hanya insan kerdil,” katanya.
Puad berkata, enam hari lalu beliau telah mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit atas faktor usia.
Beliau menegaskan pendirian bahawa golongan muda yang terlatih dan berpendidikan wajar diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab sebagai calon, namun pandangan itu didakwanya tidak diendahkan.
“Saya melakukan ‘keberanian politik’ untuk meneruskan perjuangan,” katanya tanpa memperincikan bentuk pengumuman yang akan dibuat pada 27 Jun nanti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








