POLITIK

PRN Johor: ‘Fatwa’ politik PAS tidak konsisten, berubah ikut keadaan – Mat Sabu

BATU PAHAT – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan pengundi supaya tidak menjadikan fatwa politik yang dikeluarkan pimpinan PAS sebagai pegangan kerana mendakwa pendirian parti itu sering berubah mengikut keadaan semasa.

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pengalaman politik lampau menunjukkan pelbagai fatwa dan pendirian yang pernah dikeluarkan PAS berubah mengikut perkembangan politik termasuk dalam soal kerjasama dengan parti lain.

Menurutnya yang juga Menteri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, suatu ketika dahulu UMNO pernah dilabel sebagai kafir, namun keadaan tersebut berubah selepas berlakunya perubahan landskap politik negara.

“Dulu di Kelantan, Terengganu dan Kedah, UMNO dikatakan kafir. Sembelihan ayam orang UMNO pun tidak diterima.

“Lepas itu fatwa berubah. Dengan DAP boleh berkawan, kemudian bercerai. Lepas itu dengan UMNO melalui Muafakat Nasional, kemudian bercerai pula. Sekarang diarahkan pula orang PAS mengundi BN.

“Jadi jangan pandang sebarang fatwa daripada pimpinan PAS. Semua itu hanyalah pandangan semasa untuk dapat undi,” katanya ketika berucap pada Program Sembang Santai Bersama YB Datuk Seri Mohamad Sabu, di Rengit, di sini hari ini.

Hadir sama, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Mohamad Yazid Bakri yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, AMANAH tetap berpegang kepada konsep Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam tanpa mengira kaum atau agama.

Katanya, pendekatan itu diterjemahkan menerusi kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH), termasuk mengetengahkan calon bukan Islam untuk mewakili parti di kerusi tertentu.

Beliau turut menggesa jentera dan penyokong PH supaya terus bekerja keras sepanjang kempen serta tidak mudah berputus asa dalam usaha meraih sokongan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button