BISNES & EKONOMI

Robo.ai umum keputusan kewangan separuh pertama 2026 pada 24 Ogos

ABU DHABI – Robo.ai Inc. akan mengumumkan penyata kewangan tidak diaudit bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 pada 24 Ogos ini, selepas melaksanakan beberapa pengambilalihan, penyusunan semula aset dan urus niaga penting sejak awal tahun.

Syarikat yang disenaraikan di NASDAQ itu berkata, langkah berkenaan dijangka memberi kesan positif terhadap hasil serta mengubah kedudukan ekuiti pemegang saham kepada kedudukan positif, susulan pelupusan operasi legasi yang sebelum ini menanggung sebahagian besar liabiliti sejarah syarikat.

Robo.ai turut memaklumkan, pengambilalihan Neurovia AI memberikan syarikat hak eksklusif terhadap teknologi pemprosesan dan pemampatan data kecerdasan buatan (AI) tertentu yang dirancang untuk digunakan dalam sektor keselamatan awam, pengangkutan, tenaga dan perkhidmatan perbandaran.

Pasukan Neurovia AI kini menjalankan ujian projek dan produk bersama pelanggan, dengan kesan perniagaan baharu itu terhadap hasil syarikat dijangka direalisasikan secara berperingkat.

Selain itu, Robo.ai telah menyelesaikan pengambilalihan Quantum Core Capital, sebuah platform pegangan teknologi mendalam dan pembinaan usaha niaga berasaskan AI, yang dijangka mula menjalankan operasi perniagaan secara berperingkat di Emiriah Arab Bersatu.

Robo.ai turut menubuhkan Alif Holding, kumpulan industri yang memberi tumpuan kepada infrastruktur teknologi di UAE serta pembangunan, integrasi dan pembuatan teknologi serta bahan baharu untuk sektor kerajaan, awam dan bidang kritikal.

Bekas Presiden INTERPOL, Dr Ahmed Naser Al-Raisi, dilantik sebagai Pengerusi Alif Holding, manakala bekas pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri UAE, Dr Jasem Al-Mansory, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, yang menurut syarikat itu mengukuhkan struktur tadbir urus dan pasukan pengurusan kumpulan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Robo.ai, Benjamin Zhai berkata, separuh pertama 2026 menjadi titik perubahan dalam proses transformasi syarikat menerusi pelupusan perniagaan legasi dan penambahan teknologi, pasukan serta platform operasi baharu.

Beliau berkata, tumpuan syarikat bagi separuh kedua tahun ini adalah mengintegrasikan perniagaan yang diperoleh, mempercepat pengkomersialan dan peluasan teknologi serta memperkukuh pembangunan rantaian bekalan bagi mewujudkan nilai jangka panjang kepada pelabur.

Robo.ai bagaimapun menegaskan, keputusan kewangan bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026 itu tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan tempoh sama tahun lalu berikutan perubahan besar terhadap perniagaannya.

Syarikat dijangka memfailkan penyata kewangan disatukan ringkas tidak diaudit kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) melalui Borang 6-K, selain memberikan maklumat lanjut mengenai urus niaga serta prospek syarikat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button