Robo.ai lantik Dr. Jasem Ibrahim sebagai CEO Alif Holding
ABU DHABI – Robo.ai Inc. hari ini mengumumkan pelantikan Dr. Jasem Ibrahim Mansour Al-Mansory sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alif Holding berkuat kuasa serta-merta
Pelantikan berkenaan menandakan penubuhan rasmi struktur tadbir urus dan pasukan pengurusan syarikat yang bakal menerajui pembangunan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sebagai CEO, Dr. Jasem Ibrahim akan bertanggungjawab memimpin operasi harian syarikat, manakala Lembaga Pengarah akan dipengerusikan oleh bekas Presiden INTERPOL, Dr. Ahmed Naser Al-Raisi, yang akan menyelia hala tuju strategik, tadbir urus keselamatan dan pematuhan.
Menurut syarikat, pelantikan kedua-dua tokoh warga UAE itu mencerminkan komitmen Alif Holding untuk memastikan proses membuat keputusan dan operasi syarikat diterajui kepimpinan tempatan, selain membangunkan bakat nasional serta keupayaan industri domestik.
Dr. Jasem Ibrahim mempunyai pengalaman lebih 30 tahun bersama Kementerian Dalam Negeri UAE dan bersara dengan pangkat Brigedier.
Jawatan terakhir beliau ialah Timbalan Inspektor Jeneral dan Pemangku Ketua Pengarah, selain pernah mengetuai Jabatan Pemeriksaan serta Hal Ehwal Pentadbiran dan Kewangan.
Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Sumber Manusia dari University of Southampton, United Kingdom, selain kelayakan profesional dalam transformasi digital dan aplikasi AI.
“Keutamaan segera adalah membina pasukan pengurusan yang kukuh di UAE, mewujudkan sistem operasi dan tadbir urus yang mantap, serta menterjemahkan keupayaan teknologi dan pembuatan syarikat kepada hasil yang boleh disampaikan, berpangkalan di UAE, berkhidmat untuk rantau GCC dan seterusnya menembusi pasaran global,” kata Dr. Jasem Ibrahim dalam kenyataan tersebut.
Alif Holding yang membawa slogan “Building Intelligent Industries” menyasarkan pembangunan, integrasi dan pembuatan sistem AI menerusi dua platform utama iaitu perisian pintar dan peralatan pintar bagi sektor tenaga, minyak dan gas, pelabuhan, keselamatan awam, utiliti, perlombongan, pengangkutan, bandar pintar serta infrastruktur kritikal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













