BERITA SEMASA

Kontena kargo Israel disita, bukti Malaysia tolak persekongkolan Zionis – Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan menyita kontena kargo ketenteraan Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor membuktikan pendirian tegas negara dalam menolak sebarang bentuk persekongkolan dan bantuan logistik kepada kezaliman Zionis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya menyokong tindakan kerajaan melalui Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam menangani penghantaran berkenaan.

“Tindakan ini selari dengan kewajipan agama serta prinsip Maqasid Syariah (Hifz an-Nafs) bagi memelihara nyawa dan memastikan kedaulatan tanah air tidak dieksploitasi oleh rejim haram,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Dr Zulkifli turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya memberikan sokongan penuh terhadap ketegasan kerajaan yang tidak berganjak daripada pendirian solidariti bersama Palestin.

Katanya, sebarang usaha untuk meloloskan kargo yang mempunyai sokongan ketenteraan kepada Israel akan ditentang.

“Semoga Allah SWT memelihara perjuangan pembebasan Palestin sehingga kemenangan hakiki tercapai,” katanya.

Terdahulu, AKPS dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menahan dan memeriksa sebuah kontena di PTP pada 7 Ogos lalu yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel.

Menurut agensi itu, penghantaran terbabit disyaki tidak mematuhi Item No.15 Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel, selaras dengan dasar dan ketetapan kerajaan Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button