AGAMABERITA SEMASA

Peranan media bentuk masyarakat berakhlak perlu diperkukuh – Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR – Peranan media sebagai agen pembinaan masyarakat yang berakhlak, berfakta dan bersatu padu perlu terus diperkukuh di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan.

Dr Zulkifli berkata, media memainkan peranan amat penting dalam membentuk kesedaran awam, sama ada di peringkat nasional mahupun global, termasuk mendedahkan isu kemanusiaan dan keadilan sejagat.

Menurut beliau, kebangkitan kesedaran masyarakat dunia terhadap isu kemanusiaan, termasuk konflik di Gaza, banyak dicetuskan oleh keberanian wartawan dan pengamal media yang menyampaikan kebenaran walaupun berdepan risiko besar.

“Walaupun kita menyaksikan wartawan dan jurnalis dibunuh, suara media telah mencetuskan kesedaran global tentang kezaliman, jenayah dan penindasan. Ini membuktikan betapa besarnya peranan media dalam membentuk pemikiran masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis bersama pengamal media dan penyampaian hadiah program Layar Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta TikTok Dakwah Challenge di ibu negara malam tadi.

Dr Zulkifli berkata, penganjuran program berkenaan membuktikan dakwah kini telah memasuki dimensi baharu, selari dengan perkembangan teknologi dan landskap media digital yang semakin berpengaruh dalam kehidupan masyarakat.

“Dakwah hari ini tidak lagi terbatas kepada mimbar atau medium konvensional, sebaliknya bergerak melalui media sosial dan teknologi, termasuk platform seperti TikTok yang menjadi fenomena semasa,” katanya.

Menurut beliau, TikTok Dakwah Challenge dianjurkan bagi menggalakkan penghasilan kandungan positif yang mendidik masyarakat, berbanding penyalahgunaan media sosial untuk hasutan atau penyebaran berita palsu.

Beliau berkata, penyertaan golongan muda daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar universiti, pelajar sekolah menengah dan golongan bekerja membuktikan dakwah digital mampu menarik minat generasi muda secara lebih berkesan.

“Yang paling menarik, seorang pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun berjaya muncul sebagai pemenang melalui karya TikTok yang kreatif dan sarat mesej dakwah,” katanya.

Dalam masa sama, Dr Zulkifli memuji kualiti filem pendek yang dihasilkan menerusi program Layar Dakwah YADIM yang dibimbing tokoh-tokoh perfilman negara seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Mio Hashim Manaf dan Along Kamaluddin.

Menurut beliau, hasil karya yang dipersembahkan menunjukkan dakwah dan islah dapat disampaikan secara berkesan melalui pendekatan seni, sekali gus membuka ruang baharu kepada industri kreatif berteraskan nilai murni.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada YADIM kerana memulakan inisiatif berimpak tinggi itu dan memaklumkan penganjuran program berkenaan akan diperluaskan pada skala lebih besar pada masa akan datang.

“Media yang beretika dan bertanggungjawab mampu menyampaikan mesej yang memupuk masyarakat damai, bersatu padu serta cintakan keamanan, selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button