Sultan Pahang titah tindakan adil, tegas terhadap isu hina agama
KUANTAN – Sebarang penghinaan terhadap Islam serta tindakan mencabar kesuciannya tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya mesti ditangani secara tegas mengikut lunas undang-undang negara.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan, Islam sebagai agama Persekutuan mempunyai kedudukan istimewa yang wajib dihormati semua pihak.
Justeru, apa-apa bentuk provokasi, penghinaan atau perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama perlu ditangani secara tegas berlandaskan prinsip keadilan.
Baginda turut menzahirkan bahawa pihak berkuasa perlu bertindak tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati bersalah.
Walau bagaimanapun, setiap tindakan hendaklah dilaksanakan secara adil, saksama dan berhemah supaya tidak menimbulkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak.
“Penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya didorong oleh emosi atau tekanan mana-mana pihak, sebaliknya mestilah berasaskan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang yang jelas.
“Ambillah tindakan yang tegas tetapi biarlah adil. Berikan pengajaran sewajarnya tanpa membakar emosi mana-mana pihak serta pastikan keadilan ditegakkan demi kestabilan negara tercinta,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Majlis Kesultanan Pahang.
Menyentuh insiden membabitkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) yang berlaku baru-baru ini, baginda mengingatkan perkara tersebut berpotensi menggugat keharmonian serta ketenteraman negeri.
Pada masa sama, baginda menekankan bahawa keamanan dan perpaduan yang dinikmati selama ini merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipelihara.
Menurut baginda, sebarang isu berkaitan agama hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan agar tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.
Dalam hal ini, baginda menegaskan kerajaan serta barisan pemimpin di semua peringkat perlu memainkan peranan utama dengan menunjukkan contoh kepimpinan yang matang, berintegriti dan berprinsip dalam mempertahankan kesucian agama.
Sultan Pahang turut bertitah setiap tindakan yang diambil hendaklah mematuhi undang-undang serta menjunjung tinggi prinsip keadilan, di samping memastikan sensitiviti agama sentiasa dihormati.
Baginda menzahirkan harapan agar seluruh rakyat terus memelihara keharmonian yang telah sekian lama menjadi asas kekuatan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








