Bayi perempuan antara empat maut kemalangan lori, dua kereta di Gerik
GERIK – Seorang bayi perempuan antara empat mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan dua kereta di Kilometer 38.5, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) arah Kelantan ke Gerik, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.56 tengah hari itu, kesemua mangsa yang maut terdiri daripada dua lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan bayi perempuan yang menaiki sebuah Perodua Axia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Mohd Rais Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 12.56 tengah hari sebelum menggerakkan sepasukan anggota bersama jentera ke lokasi.
Menurutnya, jentera bomba tiba pada pukul 1.42 petang, kira-kira 41 kilometer dari BBP Gerik.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati kemalangan membabitkan sebuah lori dengan dua kereta.
“Empat mangsa yang maut berada di dalam kereta Perodua Axia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak lelaki yang berada dalam kenderaan terbabit turut mengalami kecederaan.
Operasi menyelamat melibatkan lapan anggota BBP Gerik dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Mohd Rais berkata, operasi berada dalam keadaan terkawal pada pukul 2.25 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.38 petang.
Katanya, pihak bomba menjalankan operasi menyelamat serta mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







