Bayi maut tercampak kerana tiada child seat
GOMBAK – Kegagalan menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (child seat) dikenal pasti punca utama seorang bayi lelaki berusia setahun tercampak keluar sebelum maut dalam nahas ngeri di Plaza Tol Bukit Kajang, Sabtu lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak diletakkan dalam child seat, sebaliknya tercampak keluar lalu tersepit di bawah sebuah kenderaan selepas lori muatan lusuh merempuh beberapa kenderaan lain di lokasi kejadian.
“Saya tidak menyalahkan ibu bapa mangsa, namun insiden ini adalah peringatan besar kepada semua. Ramai yang mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan child seat kerana faktor kos, tetapi hakikatnya ia terbukti menyelamatkan nyawa.
“Andai kata bayi itu berada dalam child seat, kemungkinan besar dia tidak tercampak keluar dan masih hidup,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.
Anthony berkata, child seat bukan sekadar peraturan, sebaliknya ciri keselamatan penting yang tidak boleh dipandang ringan.
Dalam masa sama, beliau turut menegur pengendali lori supaya tidak hanya bergantung kepada pemeriksaan Puspakom setiap enam bulan semata-mata.
“Lori berkenaan mempunyai permit sah, rekod Puspakom masih valid, tetapi itu tidak bermakna pengendali boleh lepas tangan.
“Penyelenggaraan mesti berterusan. Bukti awal termasuk rakaman video menunjukkan kegagalan sistem brek sehingga lori merempuh plaza tol,” katanya lagi.
Beliau mendedahkan syarikat lori terbabit hanya memiliki dua permit dengan dua lori aktif, namun kejadian ini cukup memberi peringatan keras kepada semua pengusaha pengangkutan supaya memastikan kenderaan sentiasa selamat digunakan.
“Pemandu lori itu sendiri dilaporkan terpaksa melompat keluar menyelamatkan diri kerana brek gagal berfungsi.
“Polis kini meneruskan siasatan penuh termasuk pengesahan teknikal terhadap kerosakan brek,” katanya lagi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, 27 September lalu, seorang bayi lelaki maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.
Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








