BERITA SEMASA

Nenek, cucu saudara maut dalam perjalanan ke sekolah

PADANG TERAP – Seorang nenek bersama cucu saudaranya maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan menghantar seorang lagi kanak-kanak ke sekolah di Jalan Padang Sanai, berhampiran Kampung Padang Nyior, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa, Che Ramlah Abdul Karim, 76, dan cucu saudaranya, Auni Afiqah Hadi, 3, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Seorang lagi mangsa, abang kepada kanak-kanak berkenaan, Abdul Hafiz Hadi, 9, yang juga murid Sekolah Kebangsaan Padang Terap, dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian dagu dan gigi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap, Affzanisham Mohammad Sham berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal dinaiki tiga mangsa dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila motosikal yang dinaiki mangsa cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan MPV dari arah hadapan.

“Penunggang dan pembonceng hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng belakang dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan,” memetik BH online.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang maut telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi tujuan bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button