JENAYAH & MAHKAMAH

Empat penunggang RXZ maut dalam nahas libat 13 kenderaan di LPT

KUANTAN – Empat penunggang motosikal Yamaha RXZ maut dalam satu kemalangan membabitkan 13 kenderaan di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kemaman, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 1.20 pagi itu, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun turut cedera di bahagian tengkuk, manakala pemandu sebuah kereta Toyota Vios tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asistan Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah Toyota Vios, empat motosikal Yamaha RXZ serta lapan lagi motosikal yang masih dalam proses dikenal pasti.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Toyota Vios berkenaan sedang bergerak lurus di lorong kanan dari arah Kuantan menuju ke Kemaman sebelum sebuah motosikal dipercayai merempuh bahagian belakang kereta tersebut.

“Pelanggaran itu mengakibatkan penunggang motosikal terbabit terjatuh di lorong kanan sebelum tiga lagi motosikal yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar sesama sendiri.

“Kemalangan itu turut melibatkan beberapa lagi motosikal yang masih dalam proses dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, tiga mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian ialah Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, dari Bachok, Kelantan; Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dari Dungun, Terengganu dan Mohd. Aizat Husni, 33, dari Besut, Terengganu.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md Noh, 24, dari Felda Neram, Terengganu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

“Seorang penumpang kereta berusia 13 tahun mengalami kecederaan pada bahagian tengkuk dan sedang menerima rawatan di HTAA, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Tambah beliau, mayat keempat-empat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis sedang mengesan lapan lagi motosikal yang dipercayai terlibat serta saksi-saksi bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button