BERITA SEMASALUAR NEGARA

Bangunan runtuh di Filipina: Kedutaan Malaysia bantu bawa pulang jenazah

KUALA LUMPUR – Usaha membawa pulang jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi bangunan runtuh di Bandar Angeles, Pampanga, utara Filipina sedang giat dilakukan kedutaan Malaysia.

Difahamkan, keluarga mangsa sudah tiba di Filipina awal pagi semalam bagi urusan tuntutan jenazah dan proses membawa pulang jenazah ke tanah air.

Wakil kedutaan Malaysia di Filipina memaklumkan, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga emas bersama rakannya tiba di negara itu kelmarin, bagi tujuan pelancongan, dan sepatutnya dijadualkan pulang 31 Mei.

Bagaimanapun, rakan mangsa tidak terkesan kerana tinggal di hotel yang berlainan.

“Mangsa sedang berada dalam bilik, ketika bangunan sembilan tingkat yang sedang dalam pembinaan bersebelah hotel itu runtuh secara tiba-tiba.

“Kejadian dipercayai akibat cuaca buruk yang melanda kawasan itu sehari sebelumnya,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Semalam media melaporkan seorang rakyat Malaysia meninggal dunia, selepas terperangkap di sebuah hotel apartmen berhampiran bangunan runtuh di utara Filipina.

Jumlah korban dalam kejadian itu meningkat kepada tiga orang setakat Isnin, manakala 17 lagi masih dipercayai terperangkap di bawah timbunan runtuhan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button