
GBC: Lima perkara disepakati Kemboja-Thailand
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara Thailand dan Kemboja berjaya mencapai kata sepakat menerusi lima perkara termasuk persetujuan bagi memantau proses gencatan senjata yang ketat, membabitkan semua jenis serangan dan senjata.
Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit, berkata kedua-dua negara juga akan mengekalkan kedudukan tentera semasa seperti pada tarikh gencatan senjata, tanpa sebarang penambahan tentera.
Selain itu katanya, sebuah pasukan pemerhati sementara akan ditempatkan bagi memantau kawasan terbabit secara berkala tanpa melintasi sempadan, dan akan berkoordinasi rapat dengan Jawatankuasa Sempadan Bersenjata (ABC) dan GBC setiap negara.
“Penubuhan pasukan pemerhati ini membabitkan atase tentera ASEAN yang berpangkalan di Thailand dan Kemboja, dan akan diketuai oleh penolong atase tentera Malaysia.
“Ini adalah untuk memastikan tiada pihak yang melanggar gencatan senjata,”katanya dalam satu sidang media selepas GBC antara pemimpin tentera Kemboja dan Thailand selepas sesi mesyuarat kumpulan kerja bersama sejak Isnin lalu di Wisma Perwira di ibu negara hari ini.
Baca juga : Kemboja, Thailand mulakan mesyuarat GBC di Wisma Perwira KL
Antara yang hadir ke mesyuarat itu, termasuk Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Pada 28 Julai lalu, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah menjadi tuan rumah kepada mesyuarat penting di Kuala Lumpur yang menghimpunkan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayacha.
Susulan mesyuarat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat, sebagai langkah awal membina semula kepercayaan dan kerjasama.
Konflik yang tercetus pada 28 Mei lalu di kawasan sempadan Preah Vihear telah mengorbankan 15 nyawa dan memaksa lebih 100,000 penduduk berpindah, sekali gus membangkitkan semula pertikaian lama membabitkan sempadan sepanjang 817 kilometer.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment