Malaysia tekad bina komuniti lestari dan inklusif – Kor Ming
KUALA LUMPUR – Malaysia komited membina komuniti yang bukan sahaja selesa didiami malah disayangi, melalui pelaksanaan dasar berteraskan kelestarian dan inklusiviti, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Beliau berkata, usaha itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu perumahan, infrastruktur awam dan pengurusan sisa, seiring aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Dalam penyediaan perumahan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sehingga kini telah menyiapkan sebanyak 492,000 unit rumah mampu milik, iaitu 98.4 peratus daripada sasaran 500,000 unit.
“Program Residensi Rakyat (PRR) yang diberi penjenamaan semula akan dilengkapi ciri-ciri mesra alam termasuk sistem penuaian air hujan, panel solar dan pertanian bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Kelestarian Urbanisasi ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (MGMAC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Kor Ming berkata, melalui agensi Urbanice Malaysia, inisiatif Community Hub diperkenalkan bagi mengubah kawasan bersama yang tidak digunakan di perumahan awam menjadi ruang komuniti aktif untuk memperkasa masyarakat bandar berpendapatan rendah.
Selain itu, program Kita Untuk Kita oleh Think City turut menyumbang kepada usaha memperindah kawasan kediaman melalui geran pemberdayaan komuniti khusus bagi golongan miskin bandar.
Bagi menangani perubahan iklim, Malaysia sedang memohon dana AS$20 juta (RM84 juta) daripada Global Climate Adaptation Fund untuk melaksanakan penyelesaian berasaskan alam semula jadi di Kuala Lumpur.
Kor Ming berkata, kerajaan juga komited membina 100 Taman MADANI setiap tahun, dengan 109 taman telah siap dibina pada tahun lalu.
Dalam usaha itu katanya, Malaysia turut melepasi sasaran awal penanaman 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun apabila berjaya menanam 115 juta pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia.
Dalam aspek pengurusan sisa, KPKT merancang membina 18 loji waste-to-energy di seluruh Semenanjung bagi menyokong matlamat negara mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.
“Selain pemulihan tenaga, kita membangunkan ekosistem pengurusan sisa yang lestari melalui Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran untuk Sisa Pepejal (2025–2035).
“Majlis Ekonomi Kitaran Kebangsaan (NCEC) telah ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan Kerangka Dasar Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR),” katanya.
Beliau turut menggesa bandar-bandar ASEAN mengintegrasikan kerangka antarabangsa seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Agenda Bandar Baharu dan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN ke dalam dasar tempatan sambil memperkukuh suara di peringkat global.
“Laluan menuju masa depan lebih baik bermula dari peringkat tempatan sebelum melangkaui peringkat global. Malaysia mengundang semua negara ASEAN untuk bersama-sama menempuh perjalanan ini,” katanya.
ASUF, AGMF dan MGMAC yang berlangsung dari 10 hingga 15 Ogos ini dijangka menarik lebih 8,000 peserta termasuk pemimpin dari 300 bandar seluruh dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








