BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kemboja, Thailand mulakan mesyuarat GBC di Wisma Perwira KL

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit, menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) di Wisma Perwira di ibu negara, hari ini.

Ketibaan kedua-dua delegasi pada jam 2 petang adalah susulan daripada mesyuarat kumpulan kerja bersama antara Malaysia dan Thailand yang berlangsung di lokasi sama sejak Isnin lalu, sebagai persediaan kepada mesyuarat GBC hari ini.

Turut kelihatan hadir di Wisma Perwira ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Terdahulu, pada 28 Julai lalu, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN telah menjadi tuan rumah kepada satu mesyuarat penting di Kuala Lumpur yang melibatkan kehadiran Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayacha.

Sejurus selepas mesyuarat berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat antara Kemboja dan Thailand merupakan titik tolak kepada usaha membina semula kepercayaan, keyakinan serta kerjasama antara kedua-dua negara jiran itu.

Sebelum itu, hubungan dua hala antara Kemboja dan Thailand mengalami ketegangan berikutan pertempuran yang tercetus pada 28 Mei lalu antara pasukan tentera kedua-dua negara di kawasan sempadan Preah Vihear, sekali gus menghidupkan semula pertikaian lama yang membabitkan sempadan sepanjang 817 kilometer.

Insiden tersebut telah mengorbankan seramai 15 orang serta memaksa lebih 100,000 penduduk dipindahkan dari kawasan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button