Lapan veteran tentera mula khidmat sebagai warden asrama di dua MRSM
KUALA LUMPUR – Seramai lapan veteran tentera mula bertugas sebagai warden asrama di dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) iaitu di Besut, Terengganu dan Balik Pulau, Pulau Pinang, hari ini.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki, inisiatif rintis oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu melibatkan lapan veteran terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita yang telah melepasi ujian serta temu duga, lapor BERNAMA.
“Pengalaman, ilmu dan karakter yang diperoleh seseorang veteran ketika berkhidmat mampu membantu membentuk sahsiah pelajar di sekolah berasrama penuh ini.
“MARA menjadikan penugasan lapan veteran ini sebagai kajian rintis dan jika ia menunjukkan kesan positif, lebih ramai veteran tentera akan ditugaskan sebagai warden MRSM,” katanya, hari ini.
Semaon seterusnya menambah, lebih ramai veteran tentera berpotensi dilantik sebagai warden sekolah berasrama penuh, mencontohi langkah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang kini mengambil lebih 400 bekas tentera sebagai Renjer Komuniti.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai berkata, pihaknya memulakan inisiatif rintis melantik pesara tentera dan polis sebagai warden asrama di dua MRSM bermula bulan ini.
Dalam perkembangan lain, Semaon berkata, JHEV baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang turut meneliti keperluan mengambil veteran tentera bekerja di bawah pasukan itu.
Katanya, cadangan berkenaan masih di peringkat perbincangan kerana terdapat beberapa aspek yang perlu diperhalusi.
“JHEV sentiasa menyokong usaha mana-mana pihak, sama ada sektor awam atau swasta, yang mahu memanfaatkan kemahiran dimiliki veteran tentera dengan mengambil mereka bekerja,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








