BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

ATM tidak kompromi salah laku, kekal pertahan kedaulatan negara

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan kedaulatan negara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku individu yang boleh mencemarkan imej serta kredibiliti institusi pertahanan negara itu.

Dalam kenyataan hari ini, ATM memaklumkan permulaan tahun 2026 menyaksikan institusi berkenaan berdepan pelbagai cabaran dan isu yang mendapat perhatian masyarakat.

Sehubungan itu, ATM memandang serius setiap perkara yang dibangkitkan dan mengambil pendekatan terbuka, berfakta serta bertanggungjawab bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi tersebut terus terpelihara.

“Sebagai sebuah organisasi pertahanan yang berteraskan disiplin, profesionalisme dan integriti, ATM sentiasa bermuhasabah serta komited untuk memperbaiki sistem, tatakelola dan penyampaian perkhidmatan secara berterusan.

“Usaha berkenaan dilaksanakan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan, keupayaan dan keberkesanan ATM sentiasa berada pada tahap tertinggi demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : Pelan antirasuah MINDEF dirombak besar-besaran tahun ini – Khaled Nordin

Tambah kenyataan itu, ATM yakin institusi itu masih diterajui oleh pegawai dan anggota yang ikhlas berkhidmat, menjunjung amanah serta mengutamakan kepentingan perkhidmatan berbanding kepentingan diri.

“ATM kekal komited mempertahankan kedaulatan negara berlandaskan misi dan visi yang telah digariskan,” katanya.

Menurut ATM lagi, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana pihak berkuasa atau agensi berkaitan yang menjalankan siasatan, selaras dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.

“Segala siasatan yang sedang dijalankan memerlukan masa dan penelitian rapi bagi memastikan setiap tindakan diambil secara adil, berlandaskan fakta serta tidak dipengaruhi oleh sebarang tekanan luar,” tegas ATM.

Sementara itu, ATM menegaskan akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah institusi pertahanan negara yang profesional, berintegriti dan diyakini demi memastikan keselamatan serta kedaulatan tanah air sentiasa terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button