Pelan antirasuah MINDEF dirombak besar-besaran tahun ini – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan merombak secara besar-besaran pelan antirasuah kementerian itu pada tahun ini sebagai langkah tegas membanteras rasuah dan ketirisan dalam ekosistem pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rasuah atau persepsi rasuah dalam apa jua bentuk di kementerian berkenaan mesti dihentikan tanpa sebarang toleransi.
Beliau berkata, ia bukan sahaja menafikan negara daripada memiliki aset pertahanan yang bermutu, malah mengancam keselamatan anggota tentera serta melemahkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut beliau, segala proses tender dan perolehan akan disemak semula serta diperbaiki selari dengan amalan terbaik, sambil menegaskan mana-mana pihak yang menjadi punca sektor keselamatan negara dikompromi perlu bersedia untuk kehilangan segala-galanya.
“Kita perlu membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional.
“Rasuah adalah ancaman dari dalam yang boleh menewaskan kita tanpa perlu ke medan peperangan sebenar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Perwira di ibu negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyentuh keperluan memulihkan kepercayaan rakyat dan negara terhadap ATM, yang disifatkan sebagai benteng pertama dan terakhir dalam memelihara kedaulatan negara.
Mohamed Khaled menegaskan, kepercayaan adalah sesuatu yang sangat berharga dan tiada galang gantinya kerana tanpa kepercayaan, kementerian dan ATM hanya mempunyai nama tetapi tidak mempunyai erti.
“Kita hanya ada satu pilihan. Kita mesti dipercayai sewaktu aman dan juga sewaktu menempuh peperangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memulihkan integriti dan memastikan sistem tatakelola kementerian tidak memberi ruang walau seinci pun kepada penyelewengan serta salah guna kuasa.
Katanya, integriti tidak boleh lagi sekadar menjadi mainan di bibir atau dokumen semata-mata tanpa pelaksanaan yang berkesan, sebaliknya memerlukan tindakan tegas, adil dan tidak menganiayai sesiapa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








