BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Albert Tei mengaku tidak bersalah beri rasuah RM176,829.03 kepada Shamsul Iskandar

Rasuah berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan berkaitan pemberian rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, meminta dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan itu selepas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Baca juga : Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah empat pertuduhan rasuah

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan suapan berbentuk wang tunai, kelengkapan perabot dan barangan elektrik keseluruhan berjumlah RM176,829.03 kepada Shamsul Iskandar.

Pemberian itu didakwa sebagai dorongan membantu syarikat-syarikatnya mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipalnya.

Kesalahan berkenaan dilakukan di tiga lokasi berasingan iaitu tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin; sebuah premis di Bukit Bandaraya dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 hingga 5 Mac 2024.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Ezlin Yusop Khan, manakala barisan peguam bela terdiri daripada Latheefa Koya, Eric Paulsen, Mahajoth Singh, N. Surendran dan Rajesh Nagarajan.

Dalam prosiding itu, Latheefa memohon agar jaminan ditetapkan pada jumlah lebih rendah memandangkan anak guamnya turut berdepan pertuduhan lain di Sabah dan sepanjang tempoh tersebut sentiasa hadir melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur tanpa gagal.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM70,000 dengan dua penjamin warga tempatan serta menetapkan beberapa syarat tambahan, termasuk penyerahan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai, melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat dan tidak mengganggu saksi.

Tarikh 8 Januari 2026 ditetapkan untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button