BERITA SEMASAPMX

RM5 bilion dirampas, bukti komitmen kerajaan perangi rasuah – PM

IPOH – Usaha Kerajaan Madani memperkukuhkan tatakelola dan memperhebat tindakan terhadap rasuah mula menampakkan hasil apabila sebanyak RM5 bilion berjaya dirampas dalam tempoh setahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem pentadbiran negara dibersihkan daripada gejala rasuah yang telah lama membelenggu rakyat serta menghalang pembangunan negara.

“Ada yang menyindir dan sinis dengan soal tatakelola dan gerakan keras anti rasuah ini.

“Saya nak beritahu berapa yang kita kumpul. Dalam setahun ini sahaja, kita sudah berjaya merampas RM4 hingga RM5 bilion hasil daripada kegiatan rasuah di pelbagai agensi, daripada jabatan kementeriannya, imigresen, kastam sehinggalah tokoh politik.

“Itu maknanya, dengan kecekapan dan kesungguhan kita bertindak, kita mampu membersihkan sistem dan membuktikan tatakelola yang baik adalah tonggak utama negara,” katanya.

Baca juga : Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral yang berlangsung di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral yang berlangsung di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh, di sini hari ini.

Baca juga : Dua anggota polis disyaki rasuah RM635,000 direman

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Projek pembangunan bernilai RM6.25 bilion yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 67 ekar itu bakal dilaksanakan dalam dua fasa.

Ia merangkumi pembinaan taman awam mercu tanda di Regat Tun Perak yang turut menempatkan masjid baharu, integrasi rumah ibadat sedia ada, serta pembangunan bercampur melibatkan pangsapuri servis, ruang pejabat, niaga, hotel dan kemudahan komuniti.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa amalan lama yang mengaitkan projek pembangunan dengan komisen dan sogokan tidak lagi boleh diterima dalam pentadbiran baharu yang mengangkat prinsip integriti dan ketelusan.

“Kalau mahu bina bangunan tingkat 15, diminta ‘saguhati’. Kalau naik tingkat 20, ‘saguhati’ bertambah. Semua ini mesti dihentikan. Syarat-syarat itu harus termeterai dalam peraturan yang jelas di semua bidang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button