Malaysia lonjak 11 anak tangga dalam WCR: PM Anwar seru perkukuh tatakelola, reformasi perkhidmatan awam
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak berkaitan agar terus memperkukuh tekad dan usaha dalam memperbaiki kemudahan menjalankan perniagaan (ease of doing business) di negara ini.
Seruan itu dizahirkan susulan kejayaan Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025, daripada kedudukan ke-34 ke tangga ke-23, sekali gus menyaksikan pencapaian terbaik negara dalam tempoh lima tahun.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, usaha berkenaan perlu dilaksanakan khususnya melalui reformasi menyeluruh terhadap tatakelola dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
“Langkah tersebut amat penting bagi menjamin kemakmuran negara, meningkatkan keyakinan pelabur, dan yang paling utama, memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi teras utama pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara semalam.
Baca juga : Peningkatan WCR 2025: Bukti nyata ekonomi negara semakin kukuh
Anwar berkata, mesyuarat itu meneliti pelbagai cadangan pembangunan melibatkan aspek perancangan guna tanah dan Rancangan Struktur Negeri seperti yang termaktub di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Jelas beliau, mesyuarat tersebut menjadi wadah penting dalam menyelaras hala tuju pembangunan fizikal negara secara lebih mampan, tersusun dan inklusif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








