BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah empat tuduhan rasuah RM176,829.03

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengaku tidak bersalah
di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Pengakuan tersebut dibuat Shamsul Iskandar, 51, selepas keempat-empat tuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Faham puan, tidak mengaku bersalah, mohon bicara” kata Shamsul dengan tenang ketika prosiding.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsul Iskandar, yang ketika itu memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, didakwa menerima secara rasuah wang tunai RM100,000 daripada seorang ahli perniagaan, Tei Jiann Cheing.

Suapan itu dipercayai sebagai dorongan untuk beliau melakukan tindakan berkaitan urusan rasmi pihak yang diwakilinya.

Wang tersebut didakwa diberikan bagi membantu syarikat berkaitan Jiann Cheing memperoleh kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, meskipun perkara itu sebenarnya tidak mempunyai kaitan dengan tugas rasmi tertuduh sebagai ejen kerajaan.

Kesalahan berkenaan didakwa berlaku di kawasan tempat letak kereta YTL Majestic Hotel, No. 5, Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, pada 24 November 2023.

Shamsul Iskandar juga didakwa memperoleh suapan untuk dirinya sendiri, iaitu wang tunai RM40,000 daripada Jiann Cheing bagi tujuan sama di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini, pada 29 Januari 2024.

Dia turut didakwa atas dua lagi pertuduhan, iaitu memperoleh untuk dirinya sendiri satu suapan, iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini, antara 7 Dis 2023 dan 31 Jan 2024 serta di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 26 Februari dan 5 Mac 2024.

Bagi keempat-empat tuduhan itu, Shamsul Iskandar didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Dia berdepan hukuman mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM, dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button