Latihan perang Pangkor Siri 1/25 uji kesiagaan Armada Barat
KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meneruskan usaha memperkukuh kesiagaan armada melalui Latihan Perang Pangkor Siri 1/25, yang berlangsung di perairan Selat Melaka, salah satu laluan perkapalan utama dunia.
Menurut perkongsian di laman Facebook Kementerian Pertahanan, latihan yang dikendalikan Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) itu bertujuan menguji dan menilai keupayaan aset serta anggota TLDM dalam melaksanakan tugas teras di lapangan.
Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Muhamad Azuwan Harun, turut hadir menyaksikan sesi latihan ini.
“Latihan ini sejajar dengan Teras Utama yang digariskan oleh Panglima Tentera Laut, iaitu memastikan kesiagaan armada sebagai fokus utama,” menurut kenyataan itu.

Antara aset TLDM yang terlibat ialah KD LEKIU, KD LEKIR, KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN dan Fast Combat Boat TLDM, selain sokongan helikopter Fennec bagi simulasi ancaman udara.
Beberapa latihan taktikal dilaksanakan, termasuk Navigasi, Komunikasi, Ilmu Kelautan dan Peperangan, serta latihan Mengawal Kebanjiran dan Melawan Api (MKMA) bagi menguji keupayaan kru kapal dalam menghadapi situasi kecemasan.
Sebagai pengisian spiritual, Panglima Armada Barat turut berbuka puasa dan menunaikan solat berjemaah bersama anggota yang bertugas di bulan Ramadan.
Perang Pangkor menjadi platform penting bagi TLDM dalam memastikan kesiagaan aset dan anggota berada pada tahap tertinggi, sekali gus mengekalkan profesionalisme dalam menghadapi sebarang situasi konflik atau peperangan sebenar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







