Kerajaan jamin selesai segera isu pembatalan lesen eksport peluru berpandu antikapal, minta Norway jadi pengantara
KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia mengambil langkah segera bagi menangani isu berkaitan tindakan Kerajaan Norway yang menarik balik serta membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) yang diperuntukkan untuk projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya bersama Kementerian Luar telah menghantar notis rasmi kepada negara berkenaan sebagai makluman terhadap pendirian Malaysia berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata, tindakan itu turut bertujuan memastikan Norway dapat memainkan peranan sebagai pengantara dalam sebarang urusan lanjut melibatkan kerajaan Malaysia dan syarikat terbabit.
“Kita memang bersedia (menyelesaikan segera dengan Norway) malah kita turut bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sebab itu sejak awal lagi, kita sudah menghantar notis dan sebagainya.
“Saya percaya Kementerian Luar juga sudah menghantar surat kepada Kerajaan Norway untuk menyatakan perkara itu (supaya) sekurang-kurangnya Kerajaan Norway dapat memainkan peranan untuk memudah cara dan menjadi pengantara antara kita dengan syarikat mereka supaya syarikat itu dapat membayar tuntutan yang kita kemukakan,” katanya.
Baca juga : Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 perkukuh kesiapsiagaan pertahanan Malaysia hadapi cabaran global
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan, di ibu negara, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan PAC yang menzahirkan kegusaran serius terhadap tindakan Kerajaan Norway menarik balik dan membatalkan lesen eksport NSM yang diperuntukkan bagi projek LCS.
Terdahulu, Kerajaan Norway sebelum ini membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
NSM adalah peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer.
Mengulas mengenai penyerahan LCS kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan berlaku seperti dijadualkan.
“Kita berjanji membuat penyerahan mengikut tempoh ditetapkan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan sudah pergi dan beliau akan membuat penjelasan tidak lama lagi. Jadi kita tunggu apa yang akan dibentangkan beliau, hasil pertemuan itu,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








