Kerjasama kearkiban Malaysia-Turkiye perkukuh warisan sejarah serantau
ISTANBUL – Malaysia dan Turkiye menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kearkiban yang membuka ruang kerjasama lebih erat dalam pemeliharaan, penyelidikan serta pendigitalan dokumen sejarah.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang bagi pihak Malaysia, manakala Turkiye diwakili oleh Pengarah Direktorat Arkib Negara, Pejabat Presiden Turkiye , Professor Madya Muhammet Ahmet Tokdemir.

Aaron berkata, Malaysia turut diberi peluang melawat fasiliti penyimpanan dan makmal arkib Turkiye yang menempatkan dokumen bersejarah dari era Empayar Uthmaniyah.
“Koleksi berkenaan merangkumi lebih 700 kilometer rak penyimpanan dan lebih 70 peratus daripadanya telah didigitalkan, sekali gus menjadi penanda aras penting bagi usaha pendigitalan Arkib Negara.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkaya khazanah warisan sejarah serta melindungi identiti dan nilai budaya yang membentuk negara bangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara kerjasama yang terkandung dalam MoU tersebut termasuk pertukaran dokumen arkib, bahan penyelidikan dan buku, perkongsian kepakaran dalam teknologi moden serta aktiviti restorasi arkib, selain penganjuran mesyuarat ilmiah dan pameran bersama.
Aaron turut berkata, Kementerian Perpaduan Negara percaya bahawa kerjasama ini akan memperkukuh koleksi arkib negara, memperluaskan jaringan kepakaran serta mendukung usaha pemeliharaan warisan sejarah bukan sahaja di peringkat nasional, malah juga serantau dan global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








