LUAR NEGARA

Sembilan maut, 13 cedera dalam insiden tembakan sekolah menengah di selatan Turkiye

ANKARA – Sekurang-kurangnya lapan pelajar dan seorang guru terbunuh, manakala 13 lagi cedera dalam satu insiden tembakan di sebuah sekolah menengah di selatan Turkiye semalam.

Menurut laporan BBC News, kejadian itu berlaku di Sekolah Menengah Ayser Calik yang terletak di wilayah Kahramanmaras.

Menteri Dalam Negeri negara itu, Mustafa Cifci berkata, pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa penyerang berusia 14 tahun terbunuh semasa kejadian tersebut.

“Seramai enam daripada 13 individu yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal,” katanya.

Bagaimanapun, motif serangan masih belum diketahui dan satu siasatan menyeluruh telah dilancarkan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Insiden itu berlaku hanya sehari selepas satu lagi kejadian tembakan di sebuah sekolah menengah lain di selatan Turkiye, apabila seorang bekas pelajar mencederakan 16 individu sebelum bertindak membunuh diri.

tembakan
Deretan ambulans tiba di lokasi kejadian tembakan tersebut bagi membawa mangsa yang cedera.

Media tempatan melaporkan bahawa penyerang yang dipercayai seorang pelajar, memasuki dua bilik darjah dengan membawa lima pucuk senjata api serta tujuh kelopak peluru.

Gabenor wilayah, Mukerren Unluer mendakwa, senjata tersebut milik bapa penyerang yang merupakan bekas pegawai polis.

Bapa suspek dilaporkan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Rakaman video yang disahkan menunjukkan suasana panik ketika kejadian, dengan beberapa individu dilihat melompat keluar dari tingkap tingkat satu dan melarikan diri dari kawasan sekolah.

Seorang wartawan stesen penyiaran NTV Turkiye menyifatkan bunyi tembakan sebagai ‘sangat kuat’ dan memaklumkan suasana panik berlaku di hadapan sekolah ketika serangan.

Sementara itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menzahirkan ucapan takziah dan berharap mangsa yang tercedera segera pulih.

“Saya mendoakan kesembuhan segera kepada anak-anak kita, keluarga mereka dan para guru,” katanya dalam satu hantaran di platform media sosial X.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button