Polis tumpaskan sindiket judi berselindung di sebalik premis perniagaan sah, 282 individu ditahan
KUALA LUMPUR – Sindiket perjudian dalam talian dan nombor ekor tanpa lesen dikesan menggunakan premis perniagaan yang sah seperti kafe, kedai runcit dan kedai telekomunikasi sebagai tempat operasi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kegiatan itu terbongkar menerusi Ops Dadu Khas yang dilaksanakan di seluruh negara pada 30 Oktober dan 1 November lalu, dengan sebanyak 201 premis diserbu dan 282 individu ditahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 65 tahun, terdiri daripada 229 lelaki dan 53 wanita.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 59 individu merupakan warga asing dari Indonesia, Myanmar, Nepal dan Bangladesh yang dipercayai diambil bekerja oleh sindiket tempatan sebagai penjaga premis.
“Polis turut mengenal pasti beberapa sindiket perjudian dalam talian termasuk Winbox dan Alibaba, selain sedang mengesan ketua-ketua sindiket berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A(a), Seksyen 4B(a) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, selain Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Polis turut menjalankan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya.
Mengulas modus operandi sindiket, Kumar berkata kegiatan perjudian dalam talian mudah dipindahkan dari satu lokasi ke lokasi lain kerana hanya memerlukan kemudahan Internet dan Wi-Fi untuk menjalankan operasi serta transaksi.
Sehubungan itu, polis akan mencadangkan pemotongan bekalan elektrik terhadap kesemua 201 premis yang diserbu selepas siasatan selesai, selaras dengan peruntukan Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
Dalam usaha membanteras kegiatan berkenaan, polis juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menurunkan iklan perjudian dalam talian yang disebarkan menerusi media sosial.
Beliau menegaskan operasi membanteras kegiatan perjudian akan diteruskan dari semasa ke semasa dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu tindakan penguatkuasaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










