Isu iklan judi dalam talian, Fahmi jumpa Meta 22 Sept
BUKIT MERTAJAM – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil akan bertemu dengan syarikat Meta, pada 22 September ini bagi membincangkan kebimbangan yang semakin meningkat berkaitan kandungan perjudian dalam talian terutamanya di Facebook.
Fahmi berkata, majoriti kandungan yang telah dipadam dari platform media sosial berkenaan adalah berkaitan dengan perjudian dalam talian, termasuk iklan dan hantaran yang mempromosikan aktiviti sedemikian.
Beliau bagaimanapun memberitahu, Meta masih enggan menyekat akaun kad kredit yang digunakan untuk mengiklankan perkhidmatan sedemikian walaupun aduan dibuat berulang kali.
“Jika iklan perjudian dibayar menggunakan kad kredit dan Facebook tahu kandungan itu haram di Malaysia, mereka sepatutnya menyekat akaun kad kredit yang digunakan, tetapi Facebook enggan melakukannya,” katanya, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan memilih pendekatan dialog dan perbincangan berbanding tindakan hukuman atau sekatan dan pertemuan itu sudah dijadualkan pada 22 Sept ini.
“Kita tidak berniat untuk mengharamkan atau menutup platform berkenaan. Kita mengambil pendekatan yang membina.
“Ramai mendapat manfaat sosial dan ekonomi daripada platform-platform ini, tetapi kita tidak boleh benarkan penjenayah menyalahgunakannya untuk mengaut keuntungan atau melakukan jenayah siber,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








