Jerebu tidak jejaskan sambutan Hari Kebangsaan, raptai akhir berjalan lancar – Fahmi
PUTRAJAYA – Keadaan jerebu ketika ini tidak menjejaskan persiapan akhir Sambutan Hari Kebangsaan 2026 apabila raptai penuh yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini hari ini berjalan lancar mengikut jadual.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan memutuskan untuk meneruskan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini seperti yang dirancang selepas mengambil kira penilaian pelbagai agensi berkaitan.
Menurutnya, perkembangan semasa dipantau secara berterusan bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Setakat ini keadaan adalah terkawal dan raptai berjalan dengan baik. Jika keadaan kekal seperti hari ini, sambutan Hari Kebangsaan akan diteruskan seperti dijadualkan.
“Bagaimanapun, kerajaan akan terus membuat penilaian dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan kualiti udara,” katanya pada sidang akhbar selepas raptai akhir Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, kerajaan turut meneliti kemungkinan pelaksanaan pembenihan awan bagi membantu mengurangkan kesan jerebu, tertakluk kepada keadaan cuaca dan kesesuaian awan.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan lebih 10,000 peserta perbarisan disediakan pelitup muka yang boleh digunakan sekiranya perlu sebagai langkah berjaga-jaga.
Katanya, orang ramai khususnya ibu bapa yang membawa anak kecil serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau asma turut digalakkan memakai pelitup muka, terutama jenis N95.
“Sambutan ini dijangka menarik kehadiran lebih 80,000 pengunjung dan semua langkah sewajarnya telah diambil bagi memastikan acara berlangsung dengan selamat dan lancar,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, sebanyak 102 lokasi di sekitar Putrajaya dilengkapi kemudahan telekomunikasi tambahan bagi memastikan liputan rangkaian yang stabil sepanjang sambutan berlangsung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








