Dana Inovasi Media RM30 juta dibuka Januari depan – Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi mengumumkan pembukaan Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta sebagai langkah mempercepat transformasi industri media tempatan agar kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan dalam landskap digital yang semakin mencabar.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dana berkenaan akan dibuka bagi Fasa 1 bermula 1 hingga 14 Januari depan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta pengumuman Perdana Menteri sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Menurut beliau, Dana Inovasi Media diwujudkan bagi menggalakkan penghasilan kandungan yang lebih kreatif, interaktif dan berimpak tinggi, selain memperkasakan kompetensi pengamal media melalui latihan berstruktur.
“Dana ini juga bertujuan menyokong transformasi industri media menerusi pembangunan projek inovatif merangkumi aspek kandungan, teknologi media dan strategi digital, di samping memperkukuh daya saing organisasi media dalam menyampaikan maklumat yang tepat, relevan dan bermanfaat kepada rakyat,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, bagi memastikan penyaluran dana dilaksanakan secara berintegriti dan berkesan, hanya syarikat atau organisasi media tempatan yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta mempunyai kakitangan pemegang Kad Perakuan Media aktif layak memohon.
Mengulas skop pembiayaan, Fahmi berkata, Dana Inovasi Media merangkumi empat komponen utama iaitu latihan kepada pekerja media, perisian dan adaptasi teknologi, peralatan serta kemudahan sokongan, selain penyelidikan dan pembangunan (R&D) penghasilan kandungan.
Katanya, bagi aspek latihan, organisasi media boleh menganjurkan latihan dalaman, menghantar kakitangan mengikuti kursus anjuran pihak luar atau menggabungkan kedua-dua pendekatan.
“Dana ini turut boleh dimanfaatkan untuk pembelian atau sewaan perisian yang diperakukan, peralatan teknikal termasuk perkakasan studio dan rakaman, serta aktiviti R&D yang melibatkan adaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital terkini,” katanya.
Menurut Fahmi, langkah berkenaan diharap dapat membantu industri media menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi global, sekali gus memperkukuh ekosistem media negara yang lebih mampan.
Maklumat lanjut serta borang permohonan Dana Inovasi Media boleh dimuat turun melalui laman web www.komunikasi.gov.my mulai 1 Januari depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








