BERITA SEMASADALAM NEGERI

Media berhak bertanya, PM juga terbuka terhadap sebarang soalan – Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kerajaan menegaskan bahawa media mempunyai hak penuh untuk mengemukakan sebarang soalan selaras dengan prinsip ketelusan dan kebebasan bersuara, sekali gus meneguhkan komitmen kerajaan terhadap hubungan yang terbuka dengan wartawan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pandangan tersebut telah disampaikan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, hari ini.

“Tegasnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri terbuka untuk menerima sebarang soalan dan pendirian kerajaan adalah wartawan berhak bertanya apa jua soalan,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Terdahulu, tular sebuah rakaman video di media sosial yang memaparkan Kor Ming menjawab pertanyaan wartawan dengan nada sedikit tegas berhubung nama acara yang menggunakan bahasa Inggeris.

Tindakan itu menimbulkan kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menegaskan bahawa dalam mesyuarat Jemaah Menteri, beliau menekankan pendirian jelas kerajaan bahawa wartawan mempunyai hak bertanya sebarang soalan ketika menjalankan tugas mereka.

“Setiap jawapan atau respon yang diberikan oleh menteri perlulah disampaikan dengan berhemah, berlandaskan prinsip keterbukaan dan saling menghormati antara media dan pihak kerajaan,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa komunikasi antara menteri dan media perlu dijalankan dengan penuh profesionalisme agar fungsi pengawasan media terhadap kerajaan dapat dijalankan tanpa sebarang kekangan, namun tetap menghormati protokol rasmi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button