BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Hari Malaysia 2025: Obor patriotik terus menyala, rakyat kukuhkan perpaduan – Fahmi

BUTTERWORTH – Obor semangat patriotik rakyat kembali menyala malam ini bagi memperingati tarikh keramat 16 September, Hari Malaysia yang menjadi lambang penyatuan dalam membina negara merdeka, berdaulat dan sejahtera.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sambutan Hari Malaysia bukan sekadar diraikan setahun sekali, sebaliknya menjadi wadah penting untuk menyemai rasa cinta terhadap tanah air secara berterusan.

“Sambutan ini mengingatkan kita akan detik bersejarah pada tahun 1963, apabila Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu bergabung membentuk sebuah negara berdaulat yang kini dikenali sebagai Malaysia,” katanya.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena di sini, malam ini.

Fahmi berkata, pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah tahun ini cukup signifikan kerana negeri itu menjadi contoh perpaduan hidup subur dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Katanya, di George Town wujud Street of Harmony yang menyaksikan Masjid Kapitan Keling berdiri bersebelahan Kuil Sri Mahamariamman, Gereja St. George serta Kuil Kuan Yin, sekali gus melambangkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut menekankan kepentingan memperkukuh capaian digital rakyat apabila dua hari lalu beliau merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) MADANI Penanti, salah satu daripada 42 pusat seumpamanya di Pulau Pinang.

Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan memperluas akses internet berkelajuan tinggi, meningkatkan literasi digital serta membuka peluang ekonomi dalam talian khususnya bagi masyarakat luar bandar dan pedalaman.

Sambutan tahun ini bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah edisi kali ini selaras dengan amalan penggiliran lokasi sambutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button