Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan diteliti semula – Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA – Jemaah Menteri hari ini secara dasar meluluskan usaha Kementerian Komunikasi meneliti semula dan menambah baik Akta Komunikasi & Multimedia 1998.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, bagi meneliti aspek yang perlu diperkemaskan, kementerian akan mengadakan siri libat urus dengan pihak industri dan pihak berkepentingan untuk mengambil kira pandangan dari setiap pihak.
“Ini kesinambungan kepada dasar yang diputuskan sekitar Ogos 2022 sebelum pembubaran Parlimen.
“Hari ini Kabinet bersetuju secara dasarnya kementerian ini boleh meneliti akta terbabit, untuk dilihat aspek yang perlu ditambah baik, diperbetul dan diperkemas.
“Contohnya isu membabitkan Seksyen 233. Ramai Ahli Parlimen mempunyai pandangan tegas tetapi pada masa sama berpandangan adakah akta ini cukup kuat atau sebaliknya,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Komunikasi hari ini.
Seksyen 233 merujuk kepada penggunaan tidak wajar di media sosial seperti perkongsian kandungan lucah, kandungan menyakitkan, mengugut dan mengganggu orang lain.
Beliau menjelaskan, penelitian semula akta tersebut akan bertumpukan pada isu-isu teknikal dan hukuman yang dikenakan ke atas sebarang pelanggaran sama ada pelanggaran standard atau pada arahan-arahan yang diberikan.
Katanya, penelitian semula akta yang digubal pada tahun 1998 ini dilaksanakan setelah mengambil kira perubahan teknologi semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








