BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC perkenal KinderHub, perkasa kebajikan warga kerja

CYBERJAYA – Dalam usaha memperkukuh kesejahteraan kakitangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan KinderHub@MCMC, sebuah pusat asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak khusus untuk warga kerjanya.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif berkenaan sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan dan agensi terhadap kebajikan keluarga penjawat awam.

Menurut beliau, penyediaan kemudahan tersebut mampu membantu warga kerja menyeimbangkan komitmen kerjaya dan tanggungjawab sebagai ibu bapa, selain memastikan anak-anak berada dalam persekitaran yang selamat dan kondusif sepanjang waktu bekerja.

“Ia bukan sahaja memberi ketenangan kepada ibu bapa ketika bertugas, malah secara tidak langsung meningkatkan fokus serta produktiviti dalam memastikan pelaksanaan agenda infrastruktur digital negara berjalan lancar dan menepati sasaran,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan majlis perasmian pusat asuhan berkenaan di bangunan MCMC di sini, hari ini.

KinderHub@MCMC yang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam, berkeupayaan menempatkan sehingga 153 kanak-kanak pada satu-satu masa.

Kemudahan itu direka dengan konsep mesra kanak-kanak, menitikberatkan aspek keselamatan, pembelajaran awal serta pembangunan sahsiah.

Fahmi berkata, kemudahan tersebut diyakini mampu menjadi platform terbaik bagi menyokong perkembangan menyeluruh anak-anak warga MCMC, sejajar dengan keperluan pendidikan awal yang berkualiti.

Dalam pada itu, MCMC memaklumkan penubuhan KinderHub@MCMC mencerminkan pendekatan menyeluruh agensi berkenaan yang bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan institusi, malah mengiktiraf keseimbangan kerja dan kehidupan sebagai asas kepada pembentukan tenaga kerja yang produktif serta berdaya tahan.

Sehubungan itu, MCMC komited untuk terus memperkukuh reputasinya sebagai majikan pilihan dengan menyediakan persekitaran kerja yang menyokong kesejahteraan kakitangan dan keluarga mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button