BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC sambut baik peruntukan RM2 bilion bagi pembangunan digital Sabah

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan lebih RM2 bilion bagi memperkukuh infrastruktur digital di Sabah.

Menurut MCMC, peruntukan lebih RM2 bilion itu merangkumi pelbagai inisiatif besar yang sedang dan bakal dilaksanakan di seluruh Sabah bagi memastikan rakyat negeri berkenaan menikmati kemudahan digital setara negeri lain.

“Antara projek utama ialah pembangunan Bandar Raya Pintar Kota Kinabalu, hasil kerjasama strategik MCMC dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang ditandatangani pada Disember 2024.

“Usaha bernilai lebih RM300 juta itu meliputi peluasan rangkaian gentian optik, penyediaan Wi-Fi awam, pemasangan ‘smart poles’ berintegrasi 4G dan 5G serta penggunaan CCTV pintar yang bersambung terus ke Integrated Operations Centre,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, MCMC turut memaklumkan bagi memperluas liputan internet, pelaksanaan JENDELA 2 akan ditambah dengan 800 lokasi baharu terutama di kawasan pedalaman dan pulau.

Inisiatif itu katanya, melibatkan kos keseluruhan RM1.4 bilion termasuk pembangunan dan operasi bagi tempoh lima tahun. Inisiatif ini dijangka memanfaatkan 3.7 juta penduduk Sabah dan mencapai liputan 100 peratus di kawasan berpenduduk.

“Sehingga September 2025, sebanyak 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini beroperasi di seluruh Sabah dengan kos operasi sekitar RM210 juta untuk lima tahun.

“Melalui kemudahan akses internet, latihan digital dan program literasi teknologi, pusat ini memberi peluang setara kepada penduduk luar bandar untuk menyertai ekonomi berasaskan pengetahuan,” katanya.

Sementara itu, MCMC menambah, pihak kerajaan turut melaksanakan projek Fiber-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) membabitkan sembilan kem tentera di Sabah.

“Inisiatif bernilai RM14.2 juta itu menyediakan sambungan gentian optik kepada kira-kira 6,900 kediaman anggota,” katanya.

Tambah MCMC, pihaknya komited untuk memastikan setiap pelaburan ini memberi kesan nyata kepada rakyat Sabah, khususnya dari segi kualiti rangkaian, keselamatan digital, pengalaman pengguna dan pembangunan bandar pintar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button