MPD: Data telefon bantu kerajaan rancang dasar, privasi kekal terpelihara
KUALA LUMPUR – Dalam era digital yang semakin pesat berkembang, data daripada telefon mudah alih kini menjadi alat penting dalam membantu kerajaan merancang dasar awam dan pembangunan negara secara lebih berkesan.
Sejajar dengan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan penggunaan Mobile Phone Data (MPD) sebagai pendekatan baharu dan inovatif untuk memahami corak pergerakan rakyat, menilai keberkesanan dasar kerajaan serta mengenal pasti keperluan infrastruktur telekomunikasi di seluruh negara.
Apa Itu MPD?
MPD merujuk kepada data yang dihantar secara automatik oleh telefon bimbit apabila ia berhubung dengan menara pemancar (pencawang). Data ini tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi seperti:
- Nama
- Nombor kad pengenalan
- Nombor telefon
- Lokasi GPS pengguna.
Sebaliknya, ia hanyalah data teknikal yang menunjukkan aktiviti sambungan seperti jumlah pengguna yang menggunakan perkhidmatan dalam tempoh masa tertentu. Contohnya:
“Seramai 100 pengguna membuat panggilan pada pukul 8 malam semalam” – Tetapi tiada maklumat khusus tentang identiti pemanggil atau penerima panggilan.
Privasi Dijaga, Data Dianonimkan
Segala maklumat dalam MPD telah dianonimkan dan diagregat, iaitu dikumpul secara keseluruhan tanpa sebarang identiti individu yang boleh dikesan.
Ini bermakna, tiada sesiapa termasuk pihak berkuasa dapat mengetahui siapa pengguna sebenar di sebalik data tersebut.
Data MPD hanya digunakan untuk tujuan analisis secara umum dan bukan untuk memantau individu.
Bagaimana MPD Digunakan?
Sebelum ini, syarikat telekomunikasi menggunakan data ini untuk:
- Mengetahui masa puncak penggunaan
- Merancang promosi seperti diskaun pada waktu tertentu
- Meningkatkan mutu liputan di kawasan berkeperluan.
Kini, penggunaan MPD diperluaskan ke peringkat kerajaan bagi menyokong:
- Perancangan dasar baharu berasaskan data sebenar
- Pemetaan keperluan rangkaian komunikasi
- Tindak balas pantas dalam situasi krisis seperti pandemik dan bencana.
Sebagai contoh, semasa pandemik Covid-19, negara seperti Sepanyol menggunakan MPD untuk mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi bagi pelaksanaan lockdown yang lebih tepat.
Sokongan Global dan Panduan Keselamatan
Inisiatif MPD di Malaysia turut selari dengan usaha global. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf potensi MPD sebagai sumber data raya yang membantu memperkukuh statistik rasmi dan telah menubuhkan Jawatankuasa Pakar Data Raya (UN-CBED) sejak 2014.
Di Malaysia, projek MPD dijalankan mengikut garis panduan ketat yang ditetapkan oleh:
- Pertubuhan Telekomunikasi Dunia (ITU)
- GSMA (Badan global untuk pengendali mudah alih)
- Dasar Keselamatan ICT Negara (NCSP).
Jaminan Keselamatan dan Akses Terhad
Pertukaran data MPD hanya berlaku antara syarikat telekomunikasi dan MCMC. Ia tidak melibatkan pihak ketiga dan hanya data yang telah dianonimkan dan diringkaskan digunakan, bukannya data mentah.
Hanya pegawai yang diberi kuasa di MCMC dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dibenarkan mengakses data tersebut.
Ini dapat mengurangkan risiko data jatuh ke tangan pihak lain seperti syarikat e-dagang, pengiklan atau aplikasi pihak ketiga.
Data MPD juga dipadam selepas digunakan, kecuali ada keperluan untuk disimpan mengikut protokol ketat. Tiada penyimpanan dibuat tanpa justifikasi dan audit berkala turut dilaksanakan bagi memastikan pematuhan keselamatan.
Menangani Salah Faham dan Persepsi Negatif
Sesetengah laporan media luar yang mendakwa MPD menceroboh privasi adalah tidak berasas dan hanya mencetuskan persepsi negatif terhadap satu inisiatif yang sebenarnya mampu membawa kemajuan kepada negara.
Kurangnya pengetahuan teknikal tentang isyarat telefon dan aplikasi data menyebabkan sesetengah pihak gagal memahami bahawa MPD yang digunakan ini telah melalui proses anonimisasi dan pengagregatan yang ketat.
Apa yang lebih utama, penggunaan MPD bukan sahaja membantu kerajaan menggubal dasar yang lebih berkesan tetapi juga membuka laluan kepada perancangan pembangunan berasaskan data yang telus, selamat dan berpaksikan kepentingan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








