BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Tahap pematuhan masih tidak memuaskan, MCMC beri amaran tidak teragak ambil tindakan terhadap penyedia perkhidmatan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperhebatkan usaha membanteras penyebaran kandungan berunsur mudarat di platform media sosial yang dikenal pasti boleh mengancam keselamatan awam dan kestabilan negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan telah mengenal pasti beberapa saluran dalam talian yang didapati menyebarkan maklumat palsu, kandungan jelik melampau serta unsur berbaur ancaman yang bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berupaya melemahkan kepercayaan terhadap institusi awam.

“Penyebaran kandungan seperti ini boleh menggugat ketenteraman awam dan menjejaskan keharmonian masyarakat,” menurut MCMC.

Sebagai langkah proaktif, MCMC telah mengadakan pelbagai sesi rundingan dengan penyedia platform media sosial.

Namun begitu, tahap pematuhan dalam kalangan penyedia masih didapati berada pada tahap yang tidak memuaskan meskipun pelbagai usaha telah digerakkan secara berterusan.

Sehubungan itu, MCMC menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas, termasuk langkah perundangan terhadap mana-mana penyedia media sosial yang gagal mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

“Langkah ini diambil bagi memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, berintegriti dan mematuhi kerangka perundangan sedia ada, sejajar dengan misi kerajaan dalam membina ruang digital yang bertanggungjawab dan beretika,” kata kenyataan itu lagi.

MCMC turut menegaskan komitmennya untuk melindungi orang awam daripada kandungan berbahaya dan memastikan internet terus menjadi medium yang selamat, bermanfaat dan kondusif untuk seluruh rakyat Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button