Oleh NUR HAFIZAH ALIMUNIR
TAHUN baharu sering dianggap sebagai sempadan untuk memulakan lembaran baharu dan merealisasikan impian.
Namun bagi sesetengah individu, fenomena Fear of Missing Out (FoMO), kesan pendedahan berpanjangan daripada penggunaan media sosial boleh menjadi penghalang kepada semangat perubahan.
Tekanan untuk memenuhi ekspektasi rakan sebaya dan norma sosial, sama ada melalui resolusi yang tinggi atau memaparkan gaya hidup ideal, terus membayangi awal tahun baharu.

Obsesi terhadap trend tular seperti glow-up juga ternyata membebankan mental, hingga mengabaikan keutamaan kesihatan dan hubungan peribadi.
Bukan itu sahaja, kehendak untuk memenuhi standard #NewYearNewMe dan #NewGoals menambah tekanan untuk mendapatkan pengiktirafan sosial.
Bagi yang tidak menyertai trend ini, mereka sering kali terasa terpinggir dan secara tidak langsung menjadikan tahun baharu lebih kepada sumber tekanan daripada simbol harapan.
Lebih membimbangkan, tumpuan berlebihan pada statistik media sosial seperti jumlah sukaan dan pengikut, menyebabkan ramai terutama golongan belia, menilai kejayaan melalui angka sedangkan aspek kehidupan nyata sering terabai.
Tidak dinafikan ramai belia terperangkap dalam budaya perbandingan tidak sihat yang merosakkan diri ini.
Seperti rusa masuk kampung, masyarakat sering terpesona dengan kecantikan luaran yang dipamer di media sosial tanpa menyedari keutamaan sebenar yang perlu diberi perhatian.

Akhirnya, bukan kehidupan nyata yang diraih tetapi hanya bayangan kesempurnaan yang tidak berkesudahan.
FoMO bukan sekadar isu individu, tetapi mencerminkan cabaran kolektif yang perlu ditangani dengan pendekatan yang berfokus kepada kesejahteraan mental dan keseimbangan emosi.
Tahun baharu seharusnya menjadi waktu untuk melangkah ke hadapan dengan semangat baharu, bukannya membiarkan tekanan sosial merampas kebahagiaan dan potensi diri.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan kira-kira sejuta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas bersamaan 4.6 peratus populasi, kini bergelut dengan masalah kemurungan.
Statistik ini memberi gambaran membimbangkan apabila ramai yang terkesan oleh tekanan mental sejak dari usia remaja.
Adakah kita mahu menunggu fenomena FoMO ini menjadi faktor penambahan terhadap masalah mental seterusnya?
Oleh itu, bayangan FoMO di permulaan tahun 2025 sudah boleh ditinggalkan.

Pendekatan yang lebih berfokus perlu diterapkan dengan menekankan elemen perubahan radikal dalam budaya digital dan cara hidup.
Sehubungan itu, kempen #RealLifeGoals perlu dilancar untuk menonjolkan kisah individu yang mencapai matlamat hidup melalui usaha jangka panjang, bukan pencapaian bersifat segera yang sering digembar-gemburkan di media sosial.
Kempen ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman sebenar mereka yang berjaya mengatasi cabaran hidup tanpa terperangkap dalam perbandingan media sosial.
Social Media Minimalism iaitu keadaan yang menggalakkan pengurangan penggunaan platform digital dan memberi tumpuan kepada hubungan yang lebih bermakna dengan keluarga dan rakan perlu ada.
Langkah ini boleh disokong melalui aplikasi atau plug-in yang memantau masa penggunaan media sosial dan memberi amaran jika ia melebihi had yang disarankan untuk kesejahteraan mental.
Penubuhan Kolektif Digital untuk Kesejahteraan juga boleh menjadi langkah strategik yang perlu diusahakan dalam menghimpunkan individu, pempengaruh dan organisasi untuk mentransformasi cara masyarakat berinteraksi di media sosial.

Inisiatif ini bukan sekadar saluran pendidikan berkaitan penggunaan platform media sosial secara bertanggungjawab malah turut mencetuskan perbincangan terbuka mengenai tekanan sosial akibat FoMO.
Matlamatnya jelas mengurangkan ketagihan digital di samping membina ekosistem dalam talian yang lebih sihat dan bermakna.
Sesungguhnya, tahun baharu harus menjadi simbol permulaan segar, bukan bayangan tekanan sosial yang memerangkap masyarakat dalam dunia perbandingan palsu.
Tinggalkan FoMO dengan memberi fokus kepada nilai diri, hubungan yang bermakna dan matlamat sebenar yang membawa erti dalam kehidupan sebenar.
Jadikan tahun 2025 sebagai tahun perubahan di mana keseimbangan emosi dan kesejahteraan mental menjadi keutamaan dalam mengatasi trend sementara yang boleh memudar.
Inilah masanya untuk melangkah keluar daripada bayangan, menuju potensi sebenar diri serta mencipta naratif baharu yang bersifat lebih tulen, berharga dan lebih berani.
*Penulis merupakan Pensyarah Jabatan Pengajian Umum, Kolej Islam As Sofa.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








