JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak 12 tahun hilang dipercayai ikut kenalan media sosial

SETIU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan hilang setelah keluar dari rumahnya di Perumahan Kos Rendah Sungai Tong di sini sejak petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian itu disedari bapa mangsa, Mohd Ridzuan Mat Yasim, 36, sekitar pukul 5 petang kelmarin sebelum membuat laporan polis keesokan harinya.

Mohd Zain berkata, berdasarkan maklumat diterima, kanak-kanak bernama Adriana Batrisya itu telah berhenti sekolah ketika berada di Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 29 Sungai Tong, di sini kerana mengalami masalah kesihatan.

Katanya, mangsa tinggal di rumah bersama ibu bapa dan seorang adik lelaki berusia lapan tahun.

“Sepanjang tidak bersekolah kanak- kanak ini hanya tinggal di rumah dan tidak mempunyai kawan rapat.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati dia ada berkenalan dengan seorang lelaki yang dipercayai bukan penduduk setempat melalui aplikasi TikTok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa yang hilang mempunyai ciri-ciri warna kulit kuning langsat, berbadan gempal, tinggi 140 cm, berat 58 kilogram dengan rambut berwarna perang paras bahu.

Ketika ini, usaha mengesan mangsa giat dijalankan termasuk hebahan kehilangan kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Setiu serta risikan terhadap individu yang dipercayai berkaitan.

“Kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu memandangkan mangsa adalah di bawah umur 18 tahun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta menghubungi IPD Setiu di talian 09-6098222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Rosman Che Nordin @ Ramli di talian 013-3392709,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button