BERITA SEMASARENCANA

Ke arah masa depan lebih cerah: Tangani isu buruh kanak-kanak di ladang sawit Sabah

WALAUPUN ladang sawit menyumbang secara besar kepada ekonomi negara, di sebalik kehijauannya tersembunyi satu realiti yang kurang diberi perhatian, iaitu isu berkaitan buruh kanak-kanak.

Permasalahan ini bukan perkara baharu di Malaysia, namun ia lebih ketara di Sabah, negeri yang memiliki ribuan hektar ladang sawit dan komuniti yang menghadapi cabaran status tanpa dokumen yang sah.

Menurut kenyataan media Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang dikeluarkan pada 13 Jun 2024 bertajuk “EU, ILO, dan UNICEF lancar program untuk tangani isu pekerja kanak-kanak di Sabah”, trend kanak-kanak bekerja di ladang kelapa sawit di Sabah merupakan satu amalan yang lazim berlaku.

Menurut kenyataan itu, ramai kanak-kanak bekerja untuk membantu ibu bapa mereka, sekali gus menjejaskan keselamatan fizikal, kesihatan, pendidikan dan perkembangan mereka.

Tinjauan Pekerjaan di Ladang 2018 oleh Kerajaan Malaysia menganggarkan seramai 33,600 kanak-kanak berumur antara 5 hingga 17 tahun bekerja dalam industri kelapa sawit, dengan Sabah menyumbang sebanyak 58.8 peratus (kira-kira 19,800 kanak-kanak) daripada jumlah ini.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) pada 28 Disember 2020 bertajuk “Komen RSPO terhadap artikel Associated Press berkaitan pekerja kanak-kanak”, isu buruh kanak-kanak kekal menjadi cabaran serius yang sering tersembunyi, terutama dalam sektor pertanian di negara berpendapatan rendah, termasuk industri sawit.

Walaupun tiada statistik rasmi disebabkan kekangan dokumentasi, anggaran menunjukkan ratusan kanak-kanak terlibat dalam kerja ladang, terutama dalam keluarga yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan formal.

Baca juga : NGO sokong usaha tingkat keselamatan kanak-kanak dalam talian

Isu di sebalik ladang sawit

Di beberapa kawasan pedalaman seperti di Tawau, kanak-kanak seawal usia 12 tahun dilaporkan membantu ibu bapa mereka di ladang merangkumi kerja memungut buah sawit, mengangkat beban berat atau menyembur racun.

Berdasarkan laporan Berita Harian pada 3 Disember 2018, Timbalan Sumber Manusia pada ketika itu, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, masalah 200,000 buruh kanak-kanak di Sabah adalah agak kompleks kerana mereka terdiri daripada pekerja dalam sektor pertanian dan perladangan yang mempunyai dua masalah utama iaitu tiada kewarganegaraan dan tiada dokumen yang sah.

Beliau berkata, meskipun negeri seperti Sabah mempunyai ordinan berasingan berkaitan buruh, ia penting dalam memastikan golongan itu tidak menjadi mangsa eksploitasi dalam aspek penggajian.

Mengulas mengenai punca permasalahan ini, RSPO berkata, kekurangan kemudahan seperti akses pendidikan, pusat jagaan kanak-kanak dan program penjagaan selepas sekolah menjadi antara punca utama isu ini terus berlaku.

RSPO ialah sebuah organisasi antarabangsa tanpa keuntungan berasaskan keahlian yang menyatukan pihak berkepentingan dari pelbagai sektor dalam industri minyak sawit.

Pihak berkepentingan termasuk pengeluar sawit, pemproses atau pedagang minyak sawit, pengeluar barangan pengguna, peruncit, institusi kewangan dan pelabur, NGO pemuliharaan alam sekitar serta NGO sosial dan pembangunan.

Hak kanak-kanak yang terabai

Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC) yang diratifikasi oleh Malaysia menegaskan hak setiap kanak- kanak untuk pendidikan, perlindungan, kesihatan dan kehidupan yang selamat.

Kanak-kanak yang bekerja di ladang berisiko tinggi untuk mengalami kecederaan, keracunan bahan kimia, dan keletihan melampau.

Mereka juga tercicir daripada sistem pendidikan, menjadikan mereka lebih sukar untuk keluar daripada kitaran kemiskinan yang membelenggu keluarga mereka sejak turun-temurun.

Bukan semua ibu-bapa mahu anak mereka kerja di ladang

Kanak-kanak
Tinjauan Malaysia Tribune di sebuah perkampungan yang terletak di Sabah sempena Program Tuai Cerita. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Di sebalik laporan mengenai kewujudan buruh kanak-kanak di ladang kelapa sawit, terdapat sinar harapan yang mungkin jarang diberi perhatian apabila ramai ibu bapa yang menolak keras idea anak-anak mereka bekerja di ladang dan sebaliknya menekankan kepentingan pendidikan.

Dalam satu tinjauan yang dijalankan oleh Malaysia Tribune menerusi Program Tuai Cerita baru-baru ini di beberapa kawasan ladang di Sabah, didapati ramai dalam kalangan ibu bapa pekerja ladang melahirkan kebimbangan terhadap masa depan anak-anak mereka.

Meskipun kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada kerja-kerja berat di ladang, kebanyakan ibu bapa yang ditemui menyatakan bahawa mereka tidak mahu anak-anak mereka mewarisi nasib yang sama, iaitu hidup dalam kitaran kemiskinan dan pekerjaan yang mencabar tanpa banyak pilihan.

Seorang ibu yang enggan dikenali ketika ditemui menyuarakan harapannya agar anak-anaknya tidak perlu mengharungi kesusahan hidup seperti yang dialaminya.

Beliau berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai kekangan, terutamanya dari segi kewangan dan kemudahan pengangkutan, dia tetap berusaha sebaik mungkin untuk memastikan anak-anaknya dapat ke sekolah setiap hari.

“Walaupun kami hidup susah dan pendapatan tidak menentu, saya tetap akan usahakan agar anak-anak tidak tercicir dalam pelajaran. Saya mahu mereka belajar dan berjaya, supaya mereka tidak perlu ulangi hidup susah kami,” katanya.

Tambahnya lagi, dia sanggup melakukan apa sahaja kerja berat asalkan anak-anaknya berpeluang mendapat pendidikan yang baik, kerana baginya, pendidikan adalah satu-satunya jalan keluar daripada kitaran kemiskinan yang telah lama membelenggu keluarga mereka.

Selain aspek akademik, dia turut menekankan kepentingan nilai kerohanian dan moral dalam membentuk anak-anak yang berjaya.

Baginya, kejayaan bukan sekadar tentang memiliki pekerjaan yang baik atau gaji yang tinggi, tetapi juga tentang menjadi individu yang bertanggungjawab, jujur dan berpegang kepada ajaran agama.

“Saya selalu ingatkan anak-anak, belajar itu penting, tapi jangan lupa untuk berdoa dan berpegang pada nilai kepercayaan kita. Kalau mahu berjaya dalam hidup, kena ada arah dan kekuatan dalaman. Kita tak boleh harap usaha sendiri saja, kena ada iman dan harapan juga,” katanya.

Beliau percaya keseimbangan antara ilmu, akhlak dan pegangan spiritual akan membantu anak-anaknya membina kehidupan yang lebih baik dan bermakna pada masa depan.

Ordinan Buruh Sabah akhirnya dipinda selepas 20 tahun

Selepas hampir dua dekad tanpa sebarang perubahan, Ordinan Buruh Sabah akhirnya dipinda pada Oktober 2024, menandakan komitmen serius kerajaan untuk memperkukuh perlindungan pekerja termasuk golongan paling terdedah, iaitu kanak-kanak.

Antara impak positifnya ialah penguatkuasaan umur minimum bekerja yang lebih jelas, khususnya dalam sektor perladangan yang sebelum ini sukar dipantau akibat status dokumen yang tidak lengkap.

Peruntukan baharu mengenai kebajikan pekerja, persekitaran kerja selamat dan perlindungan daripada gangguan turut memberi perlindungan tidak langsung kepada kanak-kanak yang berisiko dieksploitasi.

Walaupun pindaan Ordinan Buruh Sabah 2024 tidak secara langsung memfokus kepada buruh kanak-kanak, penyelarasan undang-undang ini membuka jalan ke arah pemantauan dan perlindungan yang lebih berkesan.

Tindakan dan tanggungjawab

Gambar hiasan. – Foto laman sesawang rasmi Jabatan Tenaga Kerja

Perlindungan terhadap kanak-kanak memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat perladangan, dan masyarakat umum.

Agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mempergiat pemantauan serta program intervensi di kawasan berisiko tinggi.

Di peringkat industri, inisiatif pensijilan seperti yang dilakukan oleh RSPO bagi menggalakkan syarikat perladangan untuk mematuhi prinsip kelestarian sosial termasuk melarang buruh kanak-kanak.

Isu buruh kanak-kanak bukan sekadar kisah duka dari ladang-ladang terpencil di Sabah, tetapi gambaran jelas sejauh mana kita sebagai sebuah negara menghargai dan melindungi hak serta masa depan generasi muda.

Menjadi tanggungjawab kolektif antara kerajaan, industri, masyarakat sivil dan pengguna untuk memastikan setiap kanak-kanak dibesarkan dalam persekitaran yang selamat, bermaruah dan penuh harapan.

Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak boleh terus memejam mata hanya kerana penderitaan itu berlaku di luar pandangan.

Hak untuk dilindungi, mendapat pendidikan dan mengejar impian adalah hak setiap kanak-kanak dan menjadi amanah kita bersama untuk memastikan hak itu ditegakkan.

Tuai Cerita ialah program felo yang direka untuk mengetengahkan suara kanak-kanak dalam komuniti rentan khususnya di ladang kelapa sawit di Sabah.

Program tersebut digerakkan oleh rakan kongsi tempatan, ANAK dan Global Shepherds, serta dilaksanakan oleh Project Liber8. Program ini dijalankan atas kerjasama Kesatuan Eropah, Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan UNICEF.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button