RSPO perketat piawaian, lindungi hak kanak-kanak di ladang sawit
RSPO menegaskan larangan terhadap penggunaan buruh kanak-kanak dalam sektor sawit
KUALA LUMPUR – Rundingan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO) menegaskan penggunaan buruh kanak-kanak dalam sektor minyak sawit adalah dilarang sepenuhnya mengikut piawaian yang ditetapkan oleh organisasi itu, termasuk di kawasan seperti Tawau dan seluruh Sabah.
Menurut RSPO, semua ahlinya perlu mematuhi Prinsip dan Kriteria 2018 (P&C) serta Piawaian Pekebun Kecil Bebas 2019 (ISH) yang menetapkan kanak-kanak tidak boleh diambil bekerja, khususnya dalam kerja berbahaya atau berbentuk eksploitasi.
“Ahli RSPO dikehendaki mempunyai dasar perlindungan kanak-kanak, sistem dokumentasi untuk pengesahan umur, serta latihan kepada kakitangan berkaitan keselamatan kanak-kanak di ladang dan di kebun kecil milik pekebun,” kata jurucakap RSPO kepada Malaysia Tribune.
Sementara itu, berdasarkan laporan ISH mengenai keperluan normatif piawaian pekebun kecil yang dikeluarkan RSPO, kerja yang dilakukan oleh kanak-kanak hanya dibenarkan di atas ladang milik keluarga.
“Kanak-kanak hanya dibenarkan berada dan membantu di ladang milik keluarga di bawah pengawasan orang dewasa, serta tidak mengganggu pendidikan mereka,” menurut laporan itu sambil menambah bahawa kanak-kanak tidak didedahkan kepada kerja yang berbahaya.
Menurut laporan itu lagi, pekebun kecil juga perlu menyedari definisi buruh kanak-kanak dan memastikan sebarang bentuk buruh kanak-kanak dalam operasi perladangan ditamatkan di peringkat kelayakan.
“Kesedaran tentang buruh kanak-kanak dan komitmen terhadap penghapusannya termasuk pematuhan terhadap umur minimum pekerja seperti yang ditetapkan oleh undang-undang tempatan, negeri, negara atau undang-undang antarabangsa adalah diwajibkan.
“Jika pekerja muda diambil, kerja mereka tidak boleh memudaratkan dari segi mental dan fizikal serta tidak mengganggu pelajaran mereka,” katanya.

Sebagai langkah tambahan, RSPO telah memperkenalkan Piawaian P&C 2024 pada tahun lalu bagi memperkemaskan perlindungan hak asasi manusia melalui pelaksanaan Human Rights Due Diligence oleh semua ahlinya.
Jelas RSPO, antara penambahbaikan termasuklah pekerja muda berumur 15 tahun ke atas hanya dibenarkan melakukan kerja yang tidak berbahaya dan tidak mengganggu persekolahan mereka.
Selain itu, pemulihan wajib dilakukan sekiranya kes buruh kanak-kanak dikesan, bagi memastikan perlindungan hak kanak-kanak.
“Penambahbaikan juga melibatkan pematuhan terhadap indikator buruh paksa ILO, termasuk larangan pemotongan gaji tanpa kebenaran, keganasan, dan kerja lebih masa secara berlebihan.
“Bayaran yuran pengambilan pekerja hendaklah dikembalikan oleh Unit Pensijilan. Pekerja juga wajib diberi salinan kontrak kerja dan dimaklumkan dengan jelas tentang terma serta syarat pekerjaan mereka,” katanya.
Tambah RSPO, pemantauan dilaksanakan secara berterusan melalui audit tahunan oleh badan pensijilan pihak ketiga.
“Mana-mana ladang yang menerima pensijilan wajib menunjukkan bukti bahawa tiada penggunaan buruh kanak-kanak serta melaksanakan prosedur saringan umur dan sistem pemantauan yang berkesan.
“Jika buruh kanak-kanak dikesan, tindakan pemulihan perlu diambil berpandukan Panduan Hak Kanak-Kanak untuk Pengeluar Minyak Sawit yang disediakan RSPO, selaras dengan prinsip ketelusan dan kepentingan terbaik untuk kanak-kanak,” katanya.

Selain itu, RSPO turut menyediakan sistem aduan terbuka di laman web rasminya untuk membolehkan mana-mana pihak, termasuk pekerja, penduduk tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan, melaporkan pelanggaran hak buruh seperti penggunaan buruh kanak-kanak.
“Setiap laporan akan disiasat secara bebas dan telus di bawah pemantauan Panel Aduan RSPO.
“Gabungan pensijilan, penguatkuasaan dalaman dan kerjasama pelbagai pihak membentuk pendekatan holistik kami. Kami yakin langkah ini akan memperkukuh amalan buruh beretika serta memastikan industri minyak sawit bergerak ke arah yang lebih mampan,” katanya.
Baca juga : Ke arah masa depan lebih cerah: Tangani isu buruh kanak-kanak di ladang sawit Sabah
Baca juga : Tiga dekad ratifikasi, janji hak kanak-kanak masih belum tercapai di Sabah – UNICEF
Mengulas mengenai jumlah kes buruh kanak-kanak, RSPO menjelaskan bahawa setakat ini, tiada kes buruh kanak-kanak yang disahkan berlaku di ladang sawit yang menerima pensijilan RSPO di Sabah.
Bagaimanapun, pihaknya tetap mengambil serius sebarang dakwaan dan akan menyiasat setiap aduan mengikut prosedur tetap. Sekiranya terdapat ketidakpatuhan serius, pensijilan boleh digantung sementara.
Melalui pendekatan Jurisdictional Approach di Sabah, RSPO turut bekerjasama dengan Sekretariat Pendekatan Bidang Kuasa Sabah (JASPO), agensi kerajaan negeri, pemimpin masyarakat dan NGO untuk menangani isu sistemik termasuk tenaga kerja tidak berdokumen dan akses kepada perkhidmatan asas.
“Isu buruh kanak-kanak sukar dikesan di kawasan terpencil serta dalam kalangan komuniti pekerja tanpa dokumen kerana kekangan seperti ketiadaan sijil kelahiran, pengawasan buruh yang lemah dan ketakutan terhadap tindakan balas,” jelas RSPO.
Sebagai kesimpulan, usaha RSPO dalam membanteras penggunaan buruh kanak-kanak dalam industri minyak sawit mencerminkan komitmen serius terhadap perlindungan hak asasi manusia dan pembangunan mampan.
Melalui kerjasama pelbagai pihak, RSPO bukan sahaja memastikan pematuhan terhadap prinsip buruh beretika, malah menyediakan mekanisme pemulihan sekiranya pelanggaran dikesan.
Langkah ini sejajar dengan seruan UNICEF, yang menegaskan bahawa kanak-kanak perlu dilindungi kerana mereka berhak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat, sihat dan menyokong perkembangan fizikal, mental serta emosi mereka tanpa eksploitasi atau paksaan.
Pendekatan menyeluruh ini diharap dapat meningkatkan kesedaran, mendorong lebih ramai tampil membuat laporan, serta melindungi masa depan kanak-kanak daripada sebarang bentuk eksploitasi dalam sektor kritikal ini.
Tuai Cerita ialah program felo yang direka untuk mengetengahkan suara kanak-kanak dalam komuniti rentan khususnya di ladang kelapa sawit di Sabah.
Program tersebut digerakkan oleh rakan kongsi tempatan, ANAK dan Global Shepherds, serta dilaksanakan oleh Project Liber8. Program ini dijalankan atas kerjasama Kesatuan Eropah, Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan UNICEF.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








