Kanak-kanak rentung dalam kebakaran rumah teres
KUALA LANGAT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut dalam keadaan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Baiduri, Banting, awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.42 pagi itu, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an turut cedera dan dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan lanjut.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan sebelum 18 anggota bersama pegawai serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan BBP Teluk Panglima Garang digerakkan ke lokasi.
Menurut beliau, sebaik tiba pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres kelas A dengan tahap kemusnahan dianggarkan 84 peratus.
“Terdapat dua mangsa dilaporkan terperangkap. Operasi pencarian segera dijalankan sebelum menemukan mayat kanak-kanak lelaki dalam keadaan rentung di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.
“Seorang lelaki yang mengalami kecederaan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian rumah itu dihuni 10 individu dan sembilan daripadanya berjaya menyelamatkan diri.
“Kebakaran berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya kira-kira jam 7 pagi. Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








