Laporan terperinci punca kebakaran gas Putra Heights dijangka diperoleh pertengahan Mei – MB
SUBANG JAYA – Laporan terperinci berhubung punca sebenar insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini dijangka hanya akan diperoleh pada pertengahan Mei ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, unit siasatan memerlukan lebih banyak masa untuk menjalankan siasatan teknikal berikutan keadaan tanah di lokasi kejadian yang masih belum stabil.
“Unit siasatan perlu masa lagi, kita perlu beri mereka masa secukupnya. Siasatan teknikal belum berjalan sepenuhnya, hanya berjalan di atas ‘board’ dan laporan tugasan. Belum berjalan di lapangan.
“Selepas pentasbilan tapak dilakukan, baru siasatan akan dilakukan untuk kenal pasti punca sebenar dan polis akan turut kesan jika ada unsur jenayah yang boleh didakwa.
“Pihak teknikal menjangkakan sampai pertengahan bulan Mei baru mereka akan dapat satu bukti dan juga kesimpulan yang lebih konkrit terhadap peristiwa yang berlaku,” katanya pada sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini hari ini.
Dalam sidang media sama, Amirudin turut memaklumkan, setakat semalam, sebanyak 100 tan sampah telah dikeluarkan dari Taman Putra Harmoni iaitu kawasan perumahan yang terjejas akibat kebakaran.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan hanya tertumpu di Taman Putra Harmoni sebeluk ini kerana kawasan itu sahaja yang menerima kelulusan daripada penguat kuasa.
“Setakat semalam, 100 tan berjaya dikeluarkan di kawasan Taman Putra Harmoni dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat memandangkan Kampung Kuala Sungai Baru turut dibenarkan untuk proses pembersihan,” katanya lagi.
Tambah Amirudin, pada pagi esok, pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan mengetuai usaha pembersihan mega di kedua-dua kawasan perumahan yang terkesan yang melibatkan bantuan 1,402 anggota dan sukarelawan.
“Usaha ini akan berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad ini dan saya percaya dengan kerja-kerja pembersihan ini, para penduduk dapat kembali ke rumah-rumah yang telah disahkan selamat dengan lebih pantas,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








