27 maut, 63 cedera dalam kebakaran pub di Bangkok
BANGKOK – Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh, manakala 63 lagi cedera selepas kebakaran besar melanda sebuah pub di daerah Chatuchak, di sini, lewat malam Ahad yang menjadi antara tragedi kebakaran paling buruk di Thailand sejak beberapa tahun lalu.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengesahkan jumlah korban itu sambil memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Menurut pihak berkuasa, kebakaran di pub Na Ladprao itu dilaporkan berlaku sekitar pukul 11.57 malam sebelum api dan asap tebal dengan pantas memenuhi ruang premis menyebabkan ramai pengunjung terperangkap.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh kira-kira 30 minit, namun operasi mencari dan menyelamat menemukan ramai mangsa berhampiran tandas di bahagian belakang premis, dipercayai cuba menyelamatkan diri daripada asap tebal.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, seramai 63 mangsa dihantar ke hospital dengan 22 daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Proses mengenal pasti identiti mangsa yang maut masih dijalankan kerana sebahagian daripada mereka tidak membawa dokumen pengenalan diri.
Seorang anggota kumpulan muzik yang membuat persembahan di pub itu berkata, kejadian bermula apabila asap dilihat keluar dari kotak suis elektrik sebelum berlaku letupan dan gangguan bekalan elektrik, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan pengunjung.
Tragedi itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan premis hiburan di Thailand yang pernah menyaksikan beberapa insiden kebakaran maut sebelum ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








