Kebakaran tapak pelupusan sampah haram di Dengkil berjaya dipadam sepenuhnya
SEPANG – Usaha bersepadu pelbagai agensi dalam memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah haram berhampiran Taman Platinum di Dengkil akhirnya membuahkan hasil apabila api berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira pukul 2 petang semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Sepang, operasi pemadaman yang dijalankan secara berterusan sejak semalam itu berjaya memadamkan kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 150 meter panjang dan 70 meter lebar.
“Alhamdulillah, pembakaran terbuka di Tapak Pelupusan Haram Dengkil berhampiran dengan Taman Platinum berjaya dipadamkan sepenuhnya lebih kurang pukul 2.00 petang.
“Terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Dengkil, Jabatan Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Skuad Bencana Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang, Skuad Pantas Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dalam usaha pemadaman ini,” menurut kenyataan itu di Facebook.
Baca juga : Tapak sampah haram di Dengkil kini cecah keluasan 20 padang bola
Terdahulu, pasukan Fast Response Team JKR Daerah Sepang bersama 20 anggota pelbagai agensi telah digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan kerja-kerja bantuan pemadaman semalam.
Antara jenis sisa yang dikesan dilupuskan secara haram di tapak berkenaan termasuklah sisa domestik, bahan binaan dan sisa fabrik yang dipercayai menjadi punca kepada berlakunya kebakaran terbuka.
Operasi pemadaman dijalankan secara berhati-hati berikutan skala kebakaran yang besar dan potensi bahaya kepada penduduk berhampiran.
Dalam pada itu, pihak JKR Daerah Sepang turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pelupusan haram yang bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah mengundang risiko keselamatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








