Inisiatif DUN Kota Kemuning bantu mangsa kebakaran Putra Heights
PUCHONG – Mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights di sini menyampaikan penghargaan kepada pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning di atas inisiatif kaunter khas bagi urusan pengesahan maklumat diri susulan insiden itu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Razman berkata, inisiatif tersebut sangat membantu mereka yang terkesan akibat kebakaran, terutama untuk mendapatkan kebenaran cuti kecemasan daripada majikan masing-masing.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada DUN Kota Kemuning kerana telah memudahkan kami. Kaunter yang disediakan sangat membantu kami mendapatkan maklumat yang diperlukan serta borang yang perlu diisi tanpa perlu berulang-alik ke banyak tempat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut beliau, situasi yang dihadapi oleh sebahagian daripada mangsa kebakaran amat mencabar kerana terpaksa meninggalkan kediaman dalam keadaan sehelai sepinggang.
Katanya, insiden itu bukan sahaja menyebabkan mereka kehilangan wang perbelanjaann dan tempat tinggal bahkan dokumen-dokumen pengenalan diri yang diperlukan untuk menjalani kehidupan.
Sementara itu, wakil DUN Kota Kemuning ketika ditemui memaklumkan bahawa inisiatif itu diwujudkan bagi memastikan setiap mangsa mendapat bantuan sewajarnya dan kesulitan mereka diringankan.

“Kami faham kesulitan yang dialami oleh mangsa dan kami mahu memastikan urusan mereka dipermudahkan.
“Oleh itu, kaunter ini dibuka bagi memberikan maklumat jelas serta menyediakan borang yang diperlukan agar mereka boleh menguruskan cuti dengan lebih sistematik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








