JENAYAH & MAHKAMAH

Mangsa rentung dalam kereta dikenal pasti pasangan kekasih

JITRA – Identiti dua mangsa yang terbunuh dalam kemalangan di Plaza Tol Jitra, arah utara awal pagi tadi dikenal pasti sebagai pasangan kekasih.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, mangsa dikenali sebagai Pang Seng Ching, 20, yang memandu kereta terbabit dan teman wanitanya, Tan Hui Shan, 19.

Beliau berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi apabila kereta Honda Civic dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di Plaza Tol Jitra arah utara sebelum melanggar pembahagi lorong tol, terbalik lalu terbakar.

“Akibat kemalangan, pemandu dan penumpang kereta disahkan maut di tempat kejadian dan jasad kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Radzi menambah, pemandu kereta itu bekerja sebagai peniaga dan beralamat di Jalan Padang Telela Pauh, Arau, Perlis manakala wanita itu tidak bekerja dan berasal dari Jelutong, Georgetown, Pulau Pinang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya lagi.

Laporan media sebelum ini menyebut, dua individu ditemukan rentung di dalam sebuah kereta yang musnah terbakar di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pukul 1.05 pagi tadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button