BERITA SEMASA

Empat kilang musnah dalam kebakaran di Balakong

CHERAS – Empat buah kilang musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Taman Cheras Jaya, berhampiran Balakong, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.24 malam.

Menurut beliau, sejurus menerima laporan, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussin Onn digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Insiden tersebut melibatkan empat buah kilang dengan tahap kemusnahan masing-masing dianggarkan 50 peratus, 80 peratus, 90 peratus dan sebuah lagi musnah sepenuhnya.

“Api berjaya dikawal daripada terus merebak ke kawasan lain kira-kira jam 10.18 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, setakat ini operasi pemadaman masih diteruskan bagi tiga buah kilang yang terjejas.

Menurutnya, Unit Dron JBPM turut digerakkan ke lokasi bagi membantu pemantauan dan penilaian keadaan kebakaran dari udara.

Operasi turut mendapat bantuan anggota dari beberapa balai lain iaitu BBP Seri Kembangan, BBP Kajang, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Cheras, BBP Bangi dan BBP Petaling Jaya.

Selain itu, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Serdang serta pihak polis turut berada di lokasi bagi membantu melancarkan operasi.

Setakat ini, tiada laporan mengenai mangsa terlibat dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button