JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga sekeluarga maut terperangkap dalam kebakaran rumah

ROMPIN – Tiga sekeluarga maut selepas rumah mereka di Desa Mawar 2, Muadzam Shah, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, seorang lelaki dewasa disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan lecur.

Dua lagi mangsa yang maut ialah seorang wanita dewasa dan kanak-kanak lelaki yang dipercayai anaknya. Kedua-dua mangsa berkenaan dipercayai terperangkap di dalam rumah ketika kebakaran berlaku.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Kahurolaizam Mokhtar, 42; isterinya, Siti Zaleha Aluha, 31, dan anak mereka, Muhamad Putra Rayqal, 4.

Katanya, polis menerima maklumat mengenai kebakaran dua buah rumah di kawasan berkenaan kira-kira pukul 4.17 pagi sebelum anggota tiba di lokasi pada kira-kira pukul 4.35 pagi.

“Seorang lelaki dewasa ditemukan di dalam longkang di hadapan rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Muadzam Shah.

“Pemeriksaan lanjut bersama pegawai bomba kemudian menemukan dua lagi mangsa dalam keadaan rentung di sudut sebuah bilik yang terbakar,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Sharif Shai berkata, dua lagi anak mangsa berusia 10 tahun dan 16 tahun dapat menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, rumah bersebelahan turut dijilat api, namun tujuh penghuninya termasuk pemilik, Ahmad Fauzi Ismail, 35, bersama isteri dan empat anak mereka selamat.

“Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.05 pagi dan mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk tindakan lanjut,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button