Bantuan dan peruntukan kerajaan melalui MITRA dan AIM perkasa komuniti India – Fahmi
KUALA LUMPUR – Pelbagai bantuan dan peruntukan kerajaan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) serta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) diyakini mampu memperkasa sosioekonomi komuniti India, khususnya golongan usahawan kecil.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, peruntukan RM150 juta menerusi MITRA serta kemudahan pembiayaan melalui AIM dan TEKUN Nasional dapat membantu masyarakat mengembangkan perniagaan selain mendapatkan peralatan yang diperlukan.
“Banyak daripada maklum balas yang saya terima berkenaan permohonan geran ataupun bantuan daripada MITRA ini melibatkan akses. Maklum balas ini insya-Allah saya akan sampaikan kepada Datuk Seri Ramanan yang merupakan menteri yang ditugaskan untuk menjaga MITRA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Serahan Bantuan Deepavali Sentosa, di sini, hari ini.
Menurutnya, peruntukan melalui AIM dan TEKUN Nasional boleh dimanfaatkan pengusaha perniagaan kecil untuk mengembangkan operasi perniagaan masing-masing, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
“Peruntukan RM150 juta bagi MITRA turut menunjukkan peningkatan dalam usaha kerajaan membantu komuniti India menerusi pelbagai program pembangunan dan kebajikan.
“Selain bantuan secara langsung, komuniti ini turut menerima manfaat menerusi inisiatif lain, termasuk usaha membaik pulih sekolah jenis kebangsaan Tamil,” tambahnya.
Fahmi berkata, masyarakat perlu mengetahui pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan supaya golongan yang layak dapat memanfaatkan inisiatif berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, ahli Parlimen perlu memastikan maklumat mengenai bantuan kerajaan disampaikan dengan jelas kepada komuniti masing-masing agar manfaat yang disediakan dapat dinikmati sepenuhnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








